Saturday, February 15, 2014

Politik Sarawak VS Politik Semenanjung

Aku amat tertarik dengan kenyataan mantan Perdana Menteri Tun Mahathir iaitu UMNO tidak perlu melebar sayapnya ke Sarawak kerana parti-parti komponen BN di Sarawak adalah kukuh dan bersatu padu serta mempunyai jalinan yang kuat. Apa yang diperkatakan Tun Mahathir adalah benar kerana sejak dahulu lagi parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sebagai tunjang BN di Sarawak telah mengekalkan kekuasaan BN walaupun parti-parti komponen nya berpecah belah dan dilanda pelbagai krisis. PBB sebagai parti untuk kaum bumiputera amat berbeza dengan UMNO yang asas penubuhan nya adalah hanya untuk kepentingan orang Melayu sahaja ..bukan merangkumi bumiputera lain seperti orang asli. UMNO atau United Malay National Organisation  terpaksa mengubah perlembagaan nya bagi memboleh orang bumiputera Sabah menjadi ahlinya.

Berbeza dengan UMNO, parti PBB adalah gabungan kaum Melayu, Melanau, Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan bumiputera yang ada di Sarawak hingga ianya mewakili hampir setiap etnik yang ada di Sarawak. Penyatuan etnik-etnik bumiputera inilah yang memperkuatkan PBB sebagai parti bumiputera yang kuat kerana tidak berfokus kepada satu-satu etnik sahaja berbanding UMNO, MCA dan juga MIC. Satu ketika SNAP atau Sarawak National Party merupakan parti  yang memperjuangkan hak-hak kaum Iban yang dipelopori oleh mendiang Stephen Kalong Ningkan tetapi kini hanya sebuah parti serpihan apabila sentiasa dilanda krisis kempimpinan yang menyaksikan wujudnya tiga parti, iaitu PBDS, PRS dan juga SPDP. PBDS atau Parti Bansa Dayak Sarawak di bawah kepimpinan Leo Moggie satu ketika dilihat sebagai pencabar kepada penguasaan PBB, namun seklai lagi krisis kepimpinan telah menyebabkan parti itu terus lenyap dari radar politik dengan wujudnya PRS atau pun Parti Rakyat Sarawak.  Parti Rakyat Sarawak juga hamper berkubur bila berlakunya krisis kepimpinan namun kebijaksanaan James Masing memastikan PRS meneruskan survival politik parti tersebut meskipun pencabarnya menubuhkan parti baru iaitu Sarawak Workers Party atau SWP.Sarawak Peoples Demokratik Party atau SPDP yang diterajui oleh William Mawan Ikom lahir daripada krisis dalam SNAP manakala SUPP atau Sarawak United Peoples Party masih lagi berdiri utuh dengan sokongan kaum bumiputera  walaupun gagal menguasai undi kaum Cina dalam pilihan raya negeri dan juga PRU 14 yang lalu.

Bezanya di politik Sarawak dan semenanjung ialah, setiap parti menghormati hak-hak masing-masing dan tidak pernah mengungkit kaum mana yang menjadi tuan, kaum mana yang lebih kuat dan kaum mana yang berhak memerintah negeri Sarawak sejak dari dahulu lagi. Permuafakatan itu telah menjadi pegangan kepimpinan BN negeri hingga ia terus memperkukuhkan jalinan kerjasama antara komponen parti. Meskipun satu ketika, PBDS cuba untuk mencetuskan politik perkauman namun ianya tidak mendapat suara majoriti malah mendapat tentangan daripada kaum Dayak sendiri yang melihat tiada satu kaum mampu memerintah negeri Sarawak tanpa kerjasama kaum-kaum lain. Di semenanjung ada pemimin UMNO dan NGO di bawah tajaan UMNO gemar mengungkitkan ketuanan Melayu sebagai membuktikan Melayu adalah kuasa yang perlu dihormati hingga mencetuskan ketidak senang hati kaum-kaum lain seperti Cina dan India. Faktor inilah yang menyebabkan kaum Cina dan India semakin menjauhkan diri daripada mengundi MCA dan juga MIC yang dilihat tidak bersuara dan memperjuangkan hak mereka, sebagai rakan dalam BN. MCA dan MIC dilihat lemah dan menjadi pak turut walaupun pemimpin UMNO begitu lantang melaungkan ketuanan Melayu dan hak agama Islam.

Politik rasis semakin menjadi-jadi apabila wujudnya PKR yang bergabung dengan DAP dan juga PAS. DAP yang dikenali sebagai parti cauvinis Cina sejak dahulu lagi dan PAS yang dikenali sebagai amat ekstrim dalam agama Islam bersatu dengan parti yang ditubuhkan untuk memperjuangkan keadilan untuk seorang individu. Akibat tekanan gabungan tiga parti ini UMNO yang satu ketika dahulu agak akomodatif tiba-tiba menjadi parti yang lantang dan agresif dalam mempertahankan ketuanan Melayu dan Islam. Provokasi-provokasi yang dilakukan oleh pakatan tiga parti itu dilihat sebagai sesuatu yang harus ditangani oleh puak-puak UMNO. UMNO mengikut rentak tari gendang pakatan tiga parti yang sememangnya ingin melihat UMNO dibenci oleh masyarakat kerana UMNO terlalu berkuasa..dan kebanyakkan pemimpin nya kaya raya.. malah pemimpin-pemimpin PKR yang kaya raya merupakan bekas-bekas orang UMNO yang kecewa kerana gagal mendapat kuasa dalam parti.

Inilah bezanya politik Sarawak dan politik Semenanjung hingga Pehin Sri Taib menasihatkan agar kepimpina BN Sarawak terus mempertahankan negeri Sarawak dariada pengaruh politik rasis yang cuba di bawa oleh pembangkang dan juga rakan dari semenanjung. Di Sarawak tidak timbul isu agama manakala di semenanjung isu kalimah Allah masih lagi belum selesai..malah ada pemimpin NGO dan pemimpin UMNO yang memandai-mandai cuba untuk mengaitkan negeri Sarawak ke dalam kemelut isu tersebut. Di Sarawak tidak timbul isu kaum mana yang lebih berkuasa..tapi di Semenanjung masih adalah polemik tentang ketuanan Melayu…


Maka..apa yang diperkata dan dipertahan oleh Pehin Sri Taib adalah demi kebaikan semua pihak dan memastikan Sarawak terus aman, tenteram dan juga tidak tercetusnya perpecahan kaum yang boleh membawa akibat buruk seperti di Myanmar dan juga Thailand.

No comments:

Post a Comment