Monday, February 10, 2014

Akhirnya Kini Pasti..

"Akhirnya kini pasti" .. kata penyanyi Anita Sarawak ...bila aku terkenang kepada keputusan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang kadangkala dikenali dengan panggilan 'Tok Uban' atau 'Pek Moh' untuk bersara dari politik dan meninggalkan jawatan Ketua Menteri Sarawak selepas 33 tahun menerajui negeri Sarawak. Apa pun yang diperkatakan mengenai Pehin Sri .. samada orang suka atau tidak suka ...semua harus mengakui bahawa Pehin Sri telah membawa banyak pembangunan kepada negeri Sarawak ... mungkin ada yang mencebik bibir atau tidak bersetuju dengan padangan aku ini..namun inilah hakikat yang harus kita semua terima . Bukan aku memuji kerana aku mempunyai kepentingan ..jauh panggang dari api ..kata orang ..aku memuji apa yang aku nampak ... apa yang aku rasa patut diberi pujian ... aku akui bahawa tak semua yang dilakukan oleh Pehin Sri Taib di senangi atau dipersetujui oleh segelintir pihak ... malah bermacam-macam tuduhan, tohmahan serta fitnah dilemparkan kepada Pehin Sri Taib dan bermacam-macam cara dilakukan oleh musuh-musuh beliau untuk menjatuhkan kedudukan nya dan mencemarkan nama beliau ...namun beliau tetap teguh..tetap utuh sehingga ke hari ini...

Apakah pengunduran beliau dari arena politik Sarawak akan memberi impak yang besar kepada kedudukan negeri Sarawak  atau menjadikan Sarawak sasaran golongan-golongan yang mempunyai kepentingan tertentu yang akan mengubah corak politik negeri yang selama ini bertulang belakang kan parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) . Selama ini Pehin Sri Taib telah menjadikan PBB begitu ampuh dan kukuh ...walau pun parti-parti komponen seperti SNAP dan PBDS sudah berkubur dan mencetuskan kemunculan parti baru seperti PRS dan SPDP. Malah SUPP kini tidak lagi sehebat dahulu kerana tidak mampu lagi menambat hati serta kepercayaan kaum Cina yang kini didominasi oleh parti DAP. Meskipun terdapat desas-desus pergolakan dalam PBB namun semuanya dapat ditangani dengan bijak oleh Pehin Sri Taib dan mengimbangi keperluan kumpulan PESAKA dan kumpulan BUMIPUTERA... apakah Yang Di-Pertua PBB yang baru nanti mampu menggalas cabaran kedua-dua kumpulan yang mempunyai kepentingan yang sama hebat agar tidak berlaku perpecahan dalaman sepertimana parti komponen lain sebelum ini. Apakah beliau juga mampu bertahan daripadan asakan dan desakan pengaruh dari luar yang menginginkan UMNO bertapak di Sarawak dan sekaligus melenyapkan PBB daripada peta politik negara sepertimana yang berlaku kepada USNO di Sabah? Inilah sebahagian ancaman dan cabaran yang telah dilalui oleh Pehin Sri Taib sepanjang 33 tahun menerajui PBB dan negeri Sarawak.

Pelbagai cara dan kaedah dilakukan oleh musuh-musuh Pehin Sri untuk mencemari reputasinya termasuk beberapa NGO luar negara. Antara isu-isu yang dikaitkan dengan beliau ialah kemusnahan hutan dan kehidupan kaum Penan dan juga isu pembalakan walaupun ada negeri di semenanjung Malaysia yang lebih teruk pengurusan hutan ..malah hutan simpan pun diceroboh namun tidak diberi perhatian oleh NGO luar negara.   Peliknya ramai dari kalangan'rakan-rakan' BN di semenanjung yang seolah-olah termakan dan terpengaruh dengan agenda NGO hingga ada yang sanggup mengatakan Pehin Sri Taib  adalah punca kaum Cina tidak mengundi BN di Sarawak .. dan Pehin Sri Taib tidak memberi peluang kepada kaum Cina walaupun pada hakikatnya towkay-towkay balak di Sarawak dan juga orang-orang yang terkaya di Sarawak adalah majoriti kaum Cina .. lihat sahaja di Sibu, Miri dan Kuching ... siapakah yang mempunyai rumah agam di kawasan-kawasan elit? Kalau ada pun orang Melayu, Iban atau Melanau ..mungkin hanya seorang dua sahaja ...


Berdasarkan statistik tahun 2010, kaum Melanau hanya merangkumi lima (5) peratus daripada 2.5 juta penduduk Sarawak dan disebabkan Pehin Sri Taib adalah kaum Melanau seringkali terdengar suara-suara sumbang...malah dikalangan kakitangan kerajaan sekalipun ..mengatakan kaum Melanau diberi perhatian serta kelebihan dalam apa jua bidang..walau pun pada hakikatnya tiada special preferences atau pilih kasih seumpama itu dilakukan. Kalau benar lah begitu mungkin Mukah sudah menjadi bandaraya yang lebih hebat..lebih cantik daripada bandaraya Kuching atau Miri...jika Pehin Sri Taib mempunyai pemikiran yang sedemikian rupa... malah setiap bahagian yang diwakilinya membangun seperti mana Kota Samarahan kerana itu tanggungjawab beliau sebagai wakil rakyat dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri. Malah kaum Melanau yang bertaburan di serata negeri juga berusaha sepertimana kaum lain untuk terus maju kehadapan..merebut peluang yang sama rata yang telah disediakan oleh pihak pemerintah...

Apa pun yang berlaku selepas pengunduran Pehin Sri Taib dari arena politik ... ianya adalah amanah dan tanggungjawab Ketua Menteri yang baru...terpulanglah kepadanya untuk mencorak dan melakarkan pembangunan kemajuan serta kejayaan negeri Sarawak. .... yang harus setiap anak Sarawak beri kepentingan ialah bagaimana untuk terus bersatu padu dan bersikap toleransi terhadap satu sama lain..saling hormat menghormati kepercayaan dan kepatuhan keagamaan yang berbeza..mengakui dan menerima setiap perbezaan dengan hati serta minda yang terbuka ... jangan sesekali kita ungkit mengungkit siapa lebih berhak dan siapa lebih berkuasa serta siapa lebih diutamakan ... jangan sesekali kita tuduh menuduh agama siapa lebih baik .. jangan sesekali kita pertikaikan siapa lebih dahulu datang ke bumi kenyalang ... kerana semua ini akan terus memecah belahkan negeri kita ..dan akhirnya kita semua akan berputih mata..melihat orang lain menguasai negeri kita ... 

1 comment: