Thursday, November 29, 2012

Peribahasa Melayu Dalam Dunia Moden

'Kalau kail panjang sejengkal, laut dalam jangan diduga' ..merupakan antara bidalan, simpulan, peribahasa atau pun pepatah Melayu lama yang masih lagi digunapakai dalam kehidupan masyarakat Melayu.Maksud peribahasa di atas tadi ialah jika pengetahuan hanya sedikit sahaja jangan lah hendak melawan orang-orang yang banyak pengetahuannya. Sejujurnya peribahasa ini tidak lagi relevan kerana tidak semua orang yang banyak pengetahuan itu betul kerana dari segi ilmu pengetahuan setiap diri kita mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Peribahasa ini sesuai untuk orang zaman dahulu disebabkan ilmu persilatan yang tinggi sememangnya sukar untuk ditewaskan oleh seseorang yang baru sahaja tamat ilmu persilatan. 

Peribahasa biar putih tulang jangan putih mata pula bermaksud lebih baik mati daripada tidak mendapat apa-apa yang diidam. Apakah peribahasa ini yang membakar semangat juang parti keadilan rakyat dan Anwar Ibrahim? Jika kita analisa secara rambang parti keadilan rakyat bermati-matian mempertahankan pemimpin agung mereka walaupun pelbagai kontroversi menimpa..dan begitu juga Anwar Ibrahim yang tidak putus berjuang untuk mencapai matlamat dirinya menjadi Perdana Menteri Malaysia..sehingga sanggup memohon bantuan negara luar campurtangan dalam urusan negara. Setelah mencapai matlamat adakah berlaku satu kemungkinan menang sorak kampung tergadai yang membawa maksud walau pun menang dan memerintah kuasa pemerintahan berada ditangan pihak lain, iaitu menjadi puppet atau boneka kepada kuasa yang lebih besar. Kesesuaian peribahasa ini dalam dunia moden sukar dipisahkan kerana semakin maju kehidupan manusia, semakin banyak perkara yang tidak masuk akal dilakukan oleh manusia.

'Kuman diseberang laut nampak, gajah didepan mata tak nampak' membawa pengertian kesalahan orang lain  biar pun kecil nampak, tetapi kesalahan diri sendiri walau sebesar gajah tidak disedari amat relevan dikaitkan dengan sikap sesetengah pemimpin samada pemimpin politik, pemimpin persatuan ataupun pemimpin organisasi samada kerajaan maupun swasta yang begitu gemar mencari kesalahan orang bawahan walaupun sekecil mana tetapi tidak menyedari atau sengaja tidak memperdulikan kesalahan-kesalahan yang dilakukan dirinya sendiri yang lebih serius dan lebih besar. Jika diamati secara rambang ramai pengikut atau pun orang bawahan sebenarnya tidak menghormati pemimpin-pemimpin sebegini tetapi terpaksa memberi hormat kerana kuasa serta kedudukan mereka. Nak tahu mereka hormat secara paksa atau tidak lihat reaksi mereka semasa pemimpin tersebut dipindahkan, ditukar ataupun berpencen. Jika ramai yang tidak hadir semasa majlis perpisahan bermakna pemimpin tersebut tidak dihormati secara sukarela mungkin kerana bersikap seperti peribahasa yang diperkatakan. Hormat sebenarnya tidak boleh dipaksa atau diminta kerana hormat akan datang kepada seseorang itu jika dia menghormati orang lain. 

Bagaikan kacang lupakan kulit selalunya dikaitan dengan sikap seseorang yang mudah melupakan asal usul mereka ataupun sikap seseorang yang melupakan budi orang lain terhadap dirinya. Peribahasa ini juga dikaitkan dengan cerita Si Tanggang yang  malu mengakui ibunya yang miskin apabila sudah menjadi kaya raya. Dalam masyarakat moden banyak manusia bagaikan kacang lupakan kulit apabila sudah merasa senang, hidup mewah dan selesa.Antara contoh terbaik ialah kakitangan perkhidmatan awam yang seolah-olah lupa diri kenapa mereka mencari pekerjaan dan siapa memberikan mereka kerja untuk menyara hidup diri mereka dan juga keluarga mereka. Ada sebahagian daripada penjawat awam yang tidak menyokong kerajaan yang memberi mereka gaji dan kehidupan. Malah mereka sanggup dipergunakan oleh orang-orang yang berkepentingan dalam politik untuk memburuk-buruk kerajaan. Ramai juga apabila sudah bekerja lama berani mengugut dan melawan arahan pentadbiran..sedangkan satu ketika dulu semasa memohon kerja berjanji akan menurut arahan dan perintah serta menandatangani Aku Janji. Perkara ini berlaku bukan hanya kepada penjawat awam yang berpangkat rendah malah berlaku dikalangan pegawai dalam kategori Pengurusan dan Profesional juga.

Selalunya orang yang bercakap banyak tetapi tidak melakukan apa-apa kerja atau tiada ilmu pengetahuan dalam pejabat, kita umpamakan sebagai Tong Kosong disebabkan tong kosong memang bunyi kuat jika dipukul berbanding tong yang berisi. Samalah juga dengan peribahasa 'mengata dulang paku serpih, mengata orang dia lagi lebih' dikaitkan dengan orang yang sering memburukkan orang lain, mengeji atau menuduh orang lain bermacam-macam walhal sebenarnya diri nya sendiri  lagi teruk atau buruk perangai. Kedua-dua peribahasa ini pun boleh dikaitkan dengan penjawat awam dalam mana-mana organisasi. Banyak spesis penjawat awam dalam kedua-dua kategori ini yang hanya pandai mengampu dan membodek bos tetapi tidak boleh melaksanakan tugas.

Pengaruh, pangkat atau kedudukan seseorang tidak akan tercalar atau tercemar walaupun menjalankan tugas-tugas yang lebih rendah daripada tanggungjawabnya bolehkah kita samakan dengan peribahasa ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya? Sesungguhnya ramai dikalangan pegawai kerajaan berpangkat sederhana tinggi merasa malu untuk mengangkat meja dan kerusi kerana beranggapan ianya tugas budak pejabat ataupun anggota sokongan. Jika ada event biasanya mereka menjadi pemerhati atau mandor tanpa menghulur bantuan kepada anggota sokongan mengatur meja dan kerusi. Cuba anda perhatikan dalam apa jua majlis..pasti yang bermandi peluh ialah anggota bawahan namun pernahkah mereka ini diberi penghargaan atau terima kasih oleh pihak atasan?

Akhir sekali..peribahasa intan disangka kaca membawa erti seseorang yang benar-benar berkemampuan melaksanakan tugas dianggap tidak berguna dan berjasa kepada organisasi. Penilaian sebegini sering berlaku kerana seseorang itu tidak pandai mengampu atau membodek sehingga segala kerja dan usahanya tidak diiktiraf oleh ketua dan organisasi. Namun apabila individu itu dikeluarkan daripada organisasi barulah nampak bahawasanya intan yang disangka kaca adalah permata sebenar sedangkan individu yang disangkakan intan selama ini hanya sebentuk kaca yang berkilau kilau.

1 comment:

  1. Saya suka peribahasa ini..."ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya"...

    ReplyDelete