Monday, February 23, 2015

11 KERUSI BARU DUN SARAWAK : MILIK SIAPA ?

11 kerusi baru DUN Sarawak menyaksikan 82 kawasan bakal dipertandingkan dalam PRN Sarawak ke 11 berbanding 71 kawasan pada ketika ini. Pertambahan 11 kerusi DUN baru adalah susulan usul yang diluluskan oleh sidang DUN Sarawak pada November 2014 lalu. Berikutan itu juga, Sarawak merupakan negeri yang memiliki jumlah kawasan DUN yang paling banyak dalam Malaysia. 11 kawasan DUN baru membabitkan N13 Batu Kitang, N17 Stakan, N18 Serumbu, N23 Triboh, N26 Gedong, N40 Kabong, N57 Tellian, N63 Selirik, N66 Murum, N70 Samalaju dan N78 Long Lama. Perkembangan ini juga akan menyaksikan parti-parti dalam komponen BN dan juga Pakatan sudah ‘berkira-kira’ kawasan mana yang mereka inginkan ..berdasarkan majoriti pengundi dan juga pengaruh mereka. Selain itu ramai individu dalam parti politik juga mungkin juga sudah ‘berkira-kira’ atau ‘membayangkan’ mereka bakal dipilih oleh parti sebagai calon di kawasan yang mereka rasa mereka layak diketengahkan. Mungkin sudah ada yang termimpi mimpi atau ‘bermimpi mimpi’ mereka bakal menjadi ahli Yang Berhormat .. jika dilihat melalui laman media sosial.. ramai yang sudah mula ‘turun padang’ dan ‘tunjuk diri’ di kampong-kampung serta kawasan .. ada yang dulunya ‘dormant’ tiba-tiba menjadi aktif dan sibuk sesibuknya atau menyibuk diri dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan .. he he he .. ang orang tak pernah kenal .. tiba-tiba sedang ‘memperkenalkan’ diri … tonjol diri sebagai antara yang layak atau boleh diketengahkan … senario biasa bila akan adanya pilihan raya ..

Kebanyakan kawasan baru lebih menampakkan majoriti pengundi bumiputera dan pastinya parti-parti komponen dalam BN sudah pun ‘menetapkan’ kawasan mana yang mereka inginkan. Persoalan nya kini ialah dimana kedudukan UPP dan TERAS dalam pengagihan kawasan-kawasan pilihan raya ini nanti ? Daripada 11 kawasan baru, berapakah kawasan yang di agihkan kepada parti PBB, SPDP, PRS dan SUPP. Apakah TERAS dan UPP akan mendapatkan bahagian mereka juga ? Pada pandangan aku paling ideal agihan ialah parti PBB bertanding di empat (4) kawasan, iaitu di N26 Gedong, N40 Kabong,N57 Tellian dan N78 Long Lama. SUPP pula bertanding di N13 Batu Kitang dan N17 Stakan manakala SPDP bertanding di N66 Murum dan N70 Samalaju. PRS pula bertanding di 18 Serembu, N23 Triboh dan N63 Selirik. Maka dimana kedudukan TERAS dan UPP ? TERAS dan UPP boleh bertanding di kawasan yang mereka wakili sebelum ini, iaitu kawasan yang mereka menang di atas tiket SUPP dan SPDP dengan harapan perkara ini dapat diterima oleh parti yang pernah mereka wakili atapun kawasan-kawasan ini dijadikan ‘pertandingan terbuka’ untuk mereka selain menghadapi parti-parti dari pakatan rakyat atau mana-mana parti politik lain.

Berdasarkan rekod pilihan raya negeri Sarawak ke 10, parti PBB membuktikan mereka berjaya mengekalkan kemenangan 100 peratus berbanding rakan-rakan lain dalam komponen BN dan tidak mustahil jika ada pertambahan empat lagi kerusi baru, parti PBB mampu memenanginya. Manakala SPDP atau Sarawak Peoples Democratic Party menang lima(5) daripada tujuh (7) kerusi yang dipertandingkan dan kini tiada satu pun calon yang menang dalam parti berkenaan kerana telah menyertai penubuhan parti baru iaitu parti TERAS atau parti Tenaga Rakyat Sarawak. Kelima-lima ADUN telah menyertai bekas Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom, Ahli Parlimen Saratok yang juga ADUN Pakan menubuhkan parti TERAS. Apakah SPDP akan menuntut kawasan yang pernah dimenanginya iaitu N2 Tasik Biru N41 Pakan, N61 Bekenu, N66 Marudi dan N69 Batu Danau selain dua (2) kawasan yang mereka tewas, iaitu N34 Krian dan N70 Ba’ Kelalan selain memohon dua kawasan baru, iaitu N66 Murum dan N70 Samalaju. Datuk Seri Tiong King Sing dalam ucapan Tahun Baru Cina dengan tegas mahukan ‘winnable candidates to represent BN in the coming 11th State Election to be picked from among its component parties’ . ‘Candidates MUST ONLY  be from among the BN component parties, not parties outside the coalition’ katanya. (Borneo Post, February 21st 2015). Kenyataan keras dari Presiden SPDP ini adalah untuk menyanggah kenyataan Ketua Menteri Sarawak yang berkata berkemungkinan besar BN mungkin memilih calon dari kalangan BN friendly parties seperti UPP dan TERAS dalam pilihan raya negeri akan datang. Mampukah SPDP mempertahankan prinsipnya atau adakah kemungkinan SPDP akan keluar dari BN sepertimana yang dilakukan oleh SNAP sebelum ini??

Apakah pendirian Datuk Seri Tiong King Sing ini dikongsi oleh Presiden baru SUPP, Dr. Sim Kui Hian kerana jelas sekali beliau telah menegaskan bahawa SUPP akan bertanding di kesemua 19 kawasan yang pernah ia miliki walaupun secara hakikatnya SUPP hanya menang enam(6) dari 19 kawasan yang ia tandingi. Daripada enam(6) ADUN yang menang tersebut, empat daripadanya telah keluar SUPP dan menubuhkan parti baru iaitu UPP atau United Peoples Party . ADUN yang keluar ialah dari kawasan N1 Opar, N16 Bengoh, N28 Engkili untuk menyertai ADUN N47 Bawang Assan yang menjadi Presiden UPP, Datuk Seri Wong Soon Koh. Dr. Sim secara jelas mengatakan bahawa SUPP ‘will strongly object to UPP’s application to be a component party of BN’. Dr.Sim menegaskan ‘we will recontest all the 19 seats allocated to us in the previous election and there is no question about it’ (Malay Mail Online, February 22nd , 2015).  Apakah SUPP juga akan menuntut N13 Batu Kitang dan N17 Stakan sebagai tambahan kepada kawasan yang sedia ada sebelum ini daripada BN.
Merujuk kepada UPP, jelas mereka kini hanya bergantung kepada ihsan YAB Ketua Menteri Sarawak dan juga BN Pusat berdasarkan kenyataan Datuk Seri Wong Soon Koh, iaitu ‘we will leave it to the wisdom of the BN leaders.They know what to do, I suppose’. All we want to do  right now is we work very hard on the ground serving the people, hoping to be recognised as winnable candidates when the time comes’ (Malay Mail Online, February 22nd , 2015). Apakah pilihan UPP jika tidak diterima sebagai ahli komponen BN dan apa pula pilihan SUPP jika UPP diterima oleh BN ? Berdasarkan kenyataan awal Ketua Menteri Sarawak bahawa BN mengamalkan semangat kekeluargaan, jika ada satu parti membantah kemasukan parti baru, maka tiada harapan untuk TERAS dan UPP menjadi ahli BN justeru apakah pilihan TS Adenan selaku Pengerusi BN negeri? Apakah BN Plus menjadi satu opsyen untuk BN Sarawak terus mengekalkan kemenangan mereka? Jika berlaku sedemikian rupa maka pilihan raya Sarawak ke-11 akan menjadi lebih menarik dengan pertembungan ahli gabungan BN bertelagah sesama sendiri manakala parti DAP, PKR, SWP dan calon BEBAS mengaut keuntungan nya. Aku tidak menyebut PAS kerana aku tidak melihat parti PAS sebagai satu alternatif untuk masyarakat yang berbilang kaum dan kepercayaan di Sarawak . Seeloknya PAS tidak perlu membazir masa dan wang ringgit bertanding  di Sarawak.


Amat jelas DAP, PKR dan SWP mempunyai peluang sama rata untuk menang di kawasan yang baru jika BN tidak mempunyai calon yang benar-benar sesuai. Isu-isu semasa yang menghantui BN perlu diperjelaskan terutamanya pembangunan kemudahan asas yang sangat-sangat diperlukan oleh rakyat seperti bekalan air bersih, bekalan elektrik 24 jam dan jalan raya yang berturap selain kemudahan untuk belia-belia seperti padang futsal, padang bolasepak atau Dewan Badminton. Semuanya amat didambakan oleh pengundi-pengundi kawasan luar bandar yang mengharapkan wakil rakyat mereka 100 peratus membawa kemudahan itu kepada mereka. Milik siapa kawasan baru bukan satu persoalan yang berat, kerana yang lebih berat ialah bagaimana BN boleh terus kekal selaku sebuah kerajaan di negeri Sarawak kerana pastinya kali ini DAP dan PKR dengan bantuan SWP akan berjuang sehabisnya untuk mengurangkan terus penguasaan BN di negeri terbesar di Malaysia. Apakah janji-janji dalam manifesto pilihanraya ke-10 sudah ditunaikan semuanya atau sehingga kini masih berada pada tahap 50-60 peratus sahaja Jika demikian apakah langkah-langkah terkini BN untuk pastikan segala janji itu ditepati atau sekali lagi perlu berdepan cemuhan masyarakat yang kini semakin bijak dan cerdik untuk membuat pilihan mereka. 

No comments:

Post a Comment