Friday, March 21, 2014

Pegawai Tinggi VS Pegawai Rendah

Aku pernah mendengar keluhan seseorang seperti ini  ‘kenapalah sebahagian penjawat awam apabila bersara dari kerajaan akan menyertai parti pembangkang..apa yang mereka tak puashati?’  Ketika itu aku hanya mampu tersenyum dan tidak mampu untuk memberi jawapan atau membuat sebarang komen. Ya dari sudut logik akal memang aku sendiri pun hairan kenapa kebanyakan nya berlaku begitu dan apa lagi yang mereka tak puashati dengan kerajaan. Sepanjang perkhidmatan mereka sebagai penjawat awam, mereka menikmati pelbagai kemudahan yang tidak dinikmati oleh pekerja sektor swasta. Malah bekerja sebagai penjawat awam juga dijamin tidak akan dibuang kerja walau seteruk mana ekonomi negara, jika dibandingkan dengan pekerja sektor swasta yang boleh di berhentikan kerja pada bila-bila masa apabila syarikat tidak memperolehi keuntungan atau mengalami kerugian yang serius. Pun begitu setelah beberapa lama aku membuat pemerhatian, aku mula melihat banyak perbezaan dalam sektor awam, yakni sistem kasta yang tidak mampu dilihat oleh mata kasar yang terselindung oleh peraturan-peraturan.

Pegawai tinggi dalam pengertian penulisan aku ini bukan bermaksud pegawai yang mempunyai ketinggian fizikal tetapi pegawai yang berpangkat tinggi atau berkedudukan tinggi dalam organisasi, tak kira di peringkat jabatan mau pun kementerian dan begitu juga dengan maksud pegawai rendah, iaitu pegawai bawahan dan juga staf sokongan. Perbezaan yang amat ketara antara dua status kedudukan ini ialah dari segi faedah atau pun benefit, selain autoriti atau kuasa yang diberi setaraf dengan jawatan yang mereka sandang. Tidak dinafikan bahawa kumpulan Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) ke atas mempunyai banyak kemudahan dan faedah setaraf dengan peranan serta tanggungjawab mereka dalam organisasi berbanding gred-gred 54 ke bawah. Malah kumpulan JUSA ke atas ini tiada noktah dalam karier mereka walaupun selepas tamat perkhidmatan mereka kerana mereka-mereka ini biasanya akan diberi pula peluang bekerja di sektor lain dengan pendapatan yang agak lumayan. Inilah yang menjadi kemusykilan penjawat awam lain, seolah-olah peluang-peluang tersebut hanya terbuka kepada kumpulan tertentu dalam sektor awam dan mungkin inilah salah satu punca timbulnya ketidakpuasan hati sebahagian daripada penjawat awam.

Kedua ialah trend kerajaan memanjang tempoh perkhidmatan seseorang dalam satu-satu jawatan walaupun tempoh perkhidmatan nya sudah tamat. Biasanya individu tersebut akan ditawarkan perkhidmatan kontrak sehingga satu tempoh yang kadangkala mengambil masa hingga lapan tahun atau lebih. Apabila ini berlaku maka peluang kenaikan pangkat bagi orang lain akan terbantut malah ada yang tamat perkhidmatan atau pencen terlebih dahulu daripada orang yang sepatutnya sudah berpencen. Mungkin ini juga salah satu punca atau sebab timbulnya ketidakpuasan hati sebahagian penjawat awam. Pengumuman penjimatan sektor awam oleh PM disambut baik oleh sebahagian besar penjawat awam namun jika dilihat daripada cadangan tersebut ianya banyak melibatkan kumpulan pengurusan tertinggi dalam sektor awam, iaitu dengan kata lain kumpulan JUSA ke atas. Apa yang tidak dilihat ialah perks dan benefits kumpulan ini banyak memberi kelebihan kepada mereka terutamanya dari segi mendapat tempat tinggal apabila mereka dipindahkan daripada satu negeri ke negeri lain. Kumpulan ini, termasuk gred 54 tidak perlu risau tentang tempat tinggal kerana tempat tinggal mereka sudah disediakan berbanding kumpulan sokongan gred 17 hingga kumpulan Pengurusan dan Professional gred 52. Gred yang di bawah lagi la tak payah cerita. Oleh sebab itulah ramai dikalangan gred 17, hatta gred 48 sekalipun agak liat untuk dipindahkan kerana masalah untuk mendapat tempat tinggal yang sesuai. Contohnya di Putrajaya, masih ramai penjawat awam Gred 17 hingga 48 agak sukar mendapat kemudahan rumah kerajaan atau kuarters berbanding gred 52 ke atas!. Dengan gaji yang ada, kumpulan-kumpulan ini terpaksa mencari rumah sewa dengan caj antara RM500.00 hingga RM700.00 sebulan di kawasan yang agak jauh daripada tempat kerja dan sekali lagi akan berbelanja untuk minyak kenderaan, tol dan juga tambang bas sekolah untuk anak-anak mereka. Jika nak dekat dengan tempat kerja mereka terpaksa menyewa rumah dengan harga RM800.00 hingga RM1000.00 sebulan!. Kumpulan yang mempunyai gaji lebih tinggi, mendapat kemudahan yang disediakan tanpa perlu berfikir masalah pengangkutan (kerana mereka disediakan pemandu dan kereta kerajaan), sewa rumah dan sebagainya. Perkara ini juga berlaku di negeri-negeri dan ia juga mungkin merupakan salah satu punca ketidak puasan hati penjawat awam yang dizahirkan apabila mereka sudah bersara daripada perkhidmatan awam.

Penyediaan kemudahan juga mengikut pangkat dan kedudukan dalam kementerian dan jabatan, terutamanya kemudahan letak kereta. Pegawai yang berpangkat gred 52 ke atas akan mendapat petak letak kereta khas manakala yang lain terpaksa meletak kereta mereka dimana sahaja tempat yang ada. Jika mengambil contoh di Putrajaya, ada kementerian dan jabatan mengambil inisiatif meluaskan kawasan supaya staf sokongan atau kumpulan yang tidak diberi petak letak kereta boleh meletak kereta mereka secara percuma namun ada juga penjawat awam yang berpangkat rendah terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri untuk bayar tempat letak kereta! Bayangkan seorang kerani gred 17 terpaksa membayar lebih kurang RM100.00 hingga RM250.00 sebulan (mengambil kira caj RM10.00 sehari untuk tempoh masa bekerja 25 hari sebulan) berbanding kumpulan yang bergaji lebih besar tetapi mendapat kemudahan letak kereta secara percuma!. Jika kerani ini letak kereta di kawasan yang tidak dibenarkan ada kemungkinan kereta beliau akan disita atau disaman oleh pihak yang berkuasa. Tidak bolehkah pihak kerajaan memberi kemudahan yang sama kepada semua penjawat awam kerana mereka juga memberi perkhidmatan kepada masyarakat seperti mana pegawai tinggi kerajaan. Perkara ini juga berlaku di negeri-negeri yang mengalami masalah tempat letak kereta di tempat mereka bekerja. Ini juga merupakan salah satu punca ketidakpuasan hati penjawat awam yang tidak disedari menjadi api dalam sekam dalam diri seorang penjawat awam.


Banyak lagi perkara yang boleh diperkatakan, namun apa yang saya perkatakan merupakan beberapa perkara hasil pemerhatian yang boleh diubah melalui peraturan-peraturan oleh pihak yang berkuasa seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan juga Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia dalam proses transformasi perkhidmatan awam. Transformasi perkhidmatan awam harus melibatkan juga beberapa perks dan benefits bukan sahaja perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan kerana jika masih ramai kumpulan penjawat awam tidak berpuashati, sedikit sebanyak ianya mampu menjejaskan transformasi perkhidmatan yang diinginkan. Environment kerja serta kondisi kerja di kementerian serta jabatan yang banyak memberi faedah dan manafaat kepada pegawai dan staf nya akan memberi impak kepada prestasi kerja penjawat awam di kementerian dan jabatan. Memang benar ada banyak juga kebaikan yang diperolehi sebagai penjawat awam namun isu-isu yang dianggap kecil ini, walau sebesar zarah ..boleh mengubah pandangan seseorang kerana padanya dia juga memberi perkhidmatan kepada kerajaan dan mereka merasakan mereka juga layak diberi perhatian. 

No comments:

Post a Comment