Monday, November 17, 2014

UNIKNYA SARAWAK ..

Hari ini aku ingin berkongsi serba sedikit pandangan seorang sahabat berketurunan Cina yang melihat kenapa negeri Sarawak sangat jauh berbeza dari Semenanjung dari sudut perpaduan, toleransi dan penghayatan 1Malaysia. Menurutnya negeri Sarawak merupakan negeri yang amat sesuai untuk dijadikan tempat tinggal walaupun kebelakangan ini ibu negerinya semakin sesak sejajar dengan pembangunan yang semakin mantap. Sesungguhnya negeri Sarawak adalah sebuah negeri yang sangat harmoni dan aman. Kepelbagian budaya masyarakat yang berbilang kaum dan pegangan agama yang berbeza tidak mencatat atau menjejaskan pergaulan masyarakat yang sentiasa menghormati adab, adat resam serta kepercayaan masing-masing sejak zaman berzaman. Katanya ‘cuba kita ambil contoh apa yang berlaku di Miri misalnya dimana sebuah Gereja dan Masjid dibina sebelah menyebelah tanpa menimbulkan sebarang konflik dan isu kepada kedua-dua penganut kepercayaan terbesar di negari itu’. Menurutnya, di hari Jumaat, pihak Gereja membenarkan kawasan nya untuk digunakan sebagai tempat letak kereta orang-orang Islam yang bersembahyang Jumaat bagi mengurangkan kesesakan sementara pihak Masjid akan membenarkan kawasan nya digunakan oleh penganut agama Kristian pada hari Ahad semasa mereka melakukan upacara Sunday Mass mereka. Inilah contoh tolerans dan tolak ansur yang tiada bandingnya dan tidak terdapat di Semenanjung., katanya lagi.

Beliau juga berpendapat ‘sehingga tahun 2010 majoriti rakyat Sarawak tidak pernah pun terfikir atau memikirkan untuk keluar dari gabungan Persekutuan Malaysia, sehinggalah timbulnya satu wawancara dengan Presiden PERKASA – Dato Ibrahim Ali. Saya berpendapat Ibrahim Ali lah yang menjadi punca dan pencetus kepada pandangan ekstrim terhadap agama dan juga bangsa yang kemudianya seolah-olah menjadi satu gelombang atau gempa bumi yang mengegar dan mengugatkan kestabilan, keamanan serta keharmonian yang telah diasas, dipupuk dan dibina dengan penuh kepayahan oleh kerajaan selama ini. Sejak itu bermula episode tuduh menuduh oleh pelbagai pihak dan saling ingin menunjukkan kejagoan masing-masing sebagai pelindung agama dan bangsa oleh NGO dan juga orang-orang politik. Ugutan Ibrahim Ali untuk membakar Al-Kitab orang Kristian menjadi perbalahan dikalangan masyarakat, malah mencetuskan satu perang mulut antara YB Khairy dengan Pemuda PERKASA Irwan Fahmi Ideris (themalayonline.com, 2014). Perpatah ‘kerana nila setitik rosak susu sebelanga’ menjadi kenyataan sehinggakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri pun terkena ‘tempias’ dari isu berkenaan.

Sentimen-sentiman keagamaan dan perkauman inilah, menurut pandangan nya mencetuskan kebimbangan dan ketakutan kepada masyarakat Sarawak sehingga memaksa mereka untuk berfikir adalah lebih baik keluar dari Persekutuan Malaysia. Mereka bimbang dan takut propaganda membenci agama dan ekstrimis perkauman akan merebak ke negeri Sarawak lantas menggangu gugat keamanan dan keharmonian yang sudah berkurun lama terjalin. Kepercayaan dan penghormatan terhadap satu sama lain yang diamalkan selama ini pasti akan musnah dalam sekelip mata jika tiada usaha dilakukan oleh pihak berwajib, lantas tindakan yang terbaik difikirkan ialah untuk MENGHARAMKAN golongan ektrimis agama dan perkauman dari menjejak kaki ke bumi Kenyalang. Hanya dengan cara inilah sahaja mampu dilakukan agar golongan ini tidak terus menyebarkan pemikiran ektrimis perkauman dan agama di negeri Sarawak yang dihuni oleh lebih 40 etnik dengan pelbagai kepercayaan agama. Menurutnya lagi, walaupun kes Ibrahim Ali bukan satu-satu isu yang menyebabkan kemarahan masyarakat Sarawak kerana terdapat banyak penghinaan dan tohmahan ke atas negeri dan orang Sarawak dalam media sosial (yang langsung tidak di ambil tindakan oleh pihak berwajib) hingga tercetusnya NGOs seperti SSKM (Sabah Sarawak Keluar Malaysia), S4S (Sarawak For Sarawakians) atau SAPA (Sarawak Association Peoples Aspiration). NGOs ini termasuk Jeffery Kitingan yang dilihat berjuang untuk ‘kebebasan’ masyarakat Sarawak dan Sabah pastinya tidak akan ‘bangkit’ seandainya sentiment perkauman, sentiman keagamaan tidak menjadi bahan perjuangan oleh NGO dan ahli politik di Semenanjung.

Kebangkitan isu royalti minyak menjadi duri yang sukar untuk win-win situation dalam hubungan kerajaan pusat dengan kedua-dua buah negeri. Sehingga selesainya isu ini, isu-isu seperti autonomi dalam pendidikan akan juga menjadi fokus sepertimana yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963. Isu-isu ini mula menjadi prominent dan keutamaan apabila rakyat mula disedarkan melalui pendedahan demi pendedahan oleh NGOs yang merasakan sudah tibanya masanya untuk bersuara sepertimana yang berlaku antara Scotland dan Great Britain. Autonomi yang diberikan oleh Great Britain kepada negara-negara dalam persekutuanya menentukan hala tuju masing-masing dalam pelbagai aspek. Banyak perkara yang berat sebelah dan mencetuskan ketidak puashan hati masyarakat Sarawak dan Sabah lantas adalah dicadangkan agar kerajaan persekutuan memberi perhatian yang serius kerana suara majoriti kedua-dua wilayah adalah juga amat penting kepada survival kerajaan yang sedia ada.

Saya percaya secara keseluruhan orang-orang Sarawak dan Sabah akan terus berpegang kepada prinsip serta kepercayaan bahawa hanya sikap toleransi, hormat menghormati adat resam budaya dan agama serta menerima kepelbagaian dan keunikan masing-masing sahaja mampu menjadi tunjang dan teras kepada perpaduan dan keharmonian negeri mereka. Ia juga akan terus menstabilkan politik dalam kedua negeri tersebut. Justeru segala langkah dan tindakan oleh pihak luar untuk mengadakan sebarang aktiviti harus melihat kepada sensitiviti dan menghormati budaya dan kepercayaan masyarakat tempatan.

Pandangan aku : apa yang diperkatakan oleh sahabat ku ini ada kebenaranya dari sudut ektrimism agama dan perkauman. Harus diingat bahawa kestabilan negeri Sarawak pasti menjamin survival politik kerajaan semasa maka adalah perlu kerajaan pusat bertindak ke atas mana-mana NGOs atau individu yang mewar-war semangat perkauman dan ekstrimis agama dari terus mencetuskan kebimbangan dan ketakutan dalam masyarakat. Harus diingat Melayu di Sarawak hanya 24.13 peratus sahaja dan peratusan yang beragama Islam termasuk Iban, Cina dan Melanau hanya merangkumi dalam jangkaan 26.7 peratus. Maka perasaan bimbang dan takut itu ada rasionalnya.  Justeru sikap tolerans serta menghormati kebudayaan dan kepercayaan orang lain sudah lama disemaikan agar masyarakat negeri Sarawak terus hidup harmoni dan sejahtera dan terus melangkah kedepan untuk pembangunan dan kemakmuran negeri. Dengan adanya perkahwinan campur yang sudah diamalkan dari dahulu lagi ..maka ada keluarga yang mempunyai saudara mara yang berbeza budaya, berbeza kehidupan dan berbeza kepercayaan. Maka sukar bagi kami anak-anak Sarawak untuk memperkatakan keturunan dan agama aku lebih baik .. kerana ianya pasti melukai hati dan perasaan saudara kami yang berlainan keturunan dan agama. Sejujurnya aku masih lagi mempunyai sepupu yang berketurunan Cina, beragama Kristian, saudara yang berketurunan separuh Iban suku sakat lain yang berketurunan Bidayuh. Maka berbaloikah kami hancurkan keharmonian keluarga hanya kerana pandangan ekstrim dan pelampau agama dan keturunan?


Fikir dan renung-renungkan…

No comments:

Post a Comment