Tuesday, October 13, 2015

PRN SARAWAK : #theadenanway

Semalam diberitakan YAB Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem telah membuat 38 dasar baharu yang memberi kebaikan kepada rakyat dan negeri sejak beliau mengambilalih tampuk kuasa sebagai Ketua Menteri (Borneo Post, 12 Oktober). Menurut Tok Nan dasar pertama yang beliau beri tumpuan adalah penggunaan perkataan ‘lain-lain’ yang terdapat dalam boring-borang rasmi kerajaan bagi merujuk kepada masyarakat bumiputera di Sarawak.  Beliau mahukan perkataan ‘lain-lain’ itu dibatalkan penggunaan nya kerana setiap bangsa di Malaysia ini adalah sama rata dan tidak hanya tertumpu kepada tiga bangsa utama sahaja iaitu Melayu, Cina dan India. Semua bangsa telah menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara ini, malah dalam kes kaum Dayak, merekalah yang banyak berjasa mempertahankan negara daripada pencerobohan komunis suatu ketika dulu. Pada aku tindakan ini sepatutnya sudah lama disedari oleh kerajaan Malaysia, lebih-lebih lagi dalam kempen Gagasan 1Malaysia. Laungan 1Malaysia bergema disetiap pelusuk tanahair tetapi dalam borang rasmi kerajaan masih terdapat perkataan ‘lain-lain’ apabila merujuk bumiputera Sarawak dan juga Sabah .. maka ianya tidak selari dengan kehendak dan aspirasi kerajaan untuk memberi menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di negara ini.#theadenanway menjanjikan bahawa semua kaum adalah sama .. walaupun terdapat lebih 30 etnik di negeri Sarawak..samada mereka dalam jumlah yang besar maupun dalam jumlah yang paling kecil.

Setiap kaum ada maruah dan egonya sendiri kerana setiap kaum mempunyai cara hidup, budaya serta pegangan kepercayaan nya sendiri. Perbezaan ini tidak semestinya menjadi satu kelainan kepada kaum lain malah dalam Gagasan 1Malaysia, kelainan ini seharusnya diterima oleh kaum-kaum lain . Inilah keunikan yang terdapat di Malaysia amnya dan Sarawak khususnya. Keunikan budaya yang pelbagai, cara hidup yang berbeza tidak menghalang anak-anak Sarawak untuk bercampur gaul dengan harmoni dalam masyarakat. Malahan perbezaan agama tidak menghalang mereka untuk duduk makan semeja, satu kepercayaan antara kaum yang berbilang etnik yang jadi amalan sejak dahulu lagi. Jika kelainan ini dapat diterima sebaiknya, maka negeri akan dapat terus begerak kehadapan, melangkah maju mengecapi pembangunan yang lestari. Justeru tindakan Tok Nan menghalang pelampau keagamaan dan juga pelampau kaum yang tidak henti-henti menimbulkan provokasi agama dan kaum dari menjejak kaki ke bumi Sarawak sangat-sangat dipersetujui oleh seluruh rakyat negeri Sarawak. Tiada tempat di bumi Kenyalang kepada pelampau individu maupun NGO yang tidak peka dengan sensitiviti kaum dan juga agama di negeri Sarawak, samada mereka di pihak kerajaan ataupun di pihak pembangkang.

Keduanya Tok Nan juga tidak bersetuju dengan pendapat sesetengah pihak yang menggelar kaum Cina sebagai pendatang kerana generasi kaum Cina yang ada di bumi kenyalang hari ini ialah generasi yang lahir di negeri Sarawak bukan lahir di Negara Cina. Menurutnya, nenek moyang generasi Cina hari ini memang pendatang tetapi generasi Cina yang ada di Sarawak merupakan generasi keempat atau kelima yang lahir di Malaysia dan mereka tidak layak digelar sebagai pendatang (BP, 23 Oktober, 2014). Malaysia dan negeri Sarawak cukup besar untuk semua orang dan tidak perlulah kaum Cina di negara ini digelar pendatang, katanya merujuk kepada beberapa individu dan NGO yang tidak henti-henti menyelar kaum Cina sebagai pendatang. Isu ini sebenarnya tidak lagi timbul kerana kaum Cina sudah berada di Sarawak lebih dari 100 tahun yang lalu. Siapa pendatang, siapa tuan tidak lagi relevan kerana kaum Cina juga menyumbang kepada pembangunan negara dan negeri melalui aktiviti ekonomi yang mereka jalankan. Kaum Cina sering dilabel sebagai pendatang kerana mereka tidak melupakan asal usul mereka dan kadangkala pergi melawat ke Tanah Besar Negara China untuk menjenguk saudara mara yang masih ada di Negara China. ‘Kamu pegi ke Negara China untuk bercuti dan melawat kaum keluarga di sana tetapi selepas itu akan balik semula ke negeri Sarawak’ kata Tok Nan (BP, 23 Oktober 2014).

Ketiga, kerajaan negeri Sarawak mengambil langkah mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai kelayakan untuk kemasukan ke dalam perkhidmatan awam negeri dan university awam negeri, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Tan Sri Adenan Satem telah memberi kelulusan kepada perkara tersebut yang dikatakan setaraf dengan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), kata Senator Datuk Dr.Sim Kui Hian (BP, 21 September 2015). Selain itu Tok Nan juga bersetuju agar Yayasan Sarawak menyediakan biassiswa atau pinjaman pendidikan kepada pemegang UEC. Senator Datuk Sim juga menyatakan beberapa institusi pengajian tinggi swasta seperti Swinburne University, Curtin University serta Kolej Teknologi Sarawak juga mengiktiraf UEC selain university luar Negara seperti Victoria University di Melbourne, Australia dan National University, Singapura. Kelulusan daripada YAB Ketua Menteri Sarawak amat bermakna kepada kaum Cina kerana ianya membuka lembaran baru dan laluan kepada kelulusan yang lebih luas lagi terutamanya di peringkat kerajaan persekutuan. Menurut Pengerusi Persatuan Lembaga Pengurusan Sekolah Menengah Persendirian Cina Bersatu Sarawak, Datuk Vincent Lau, jika kerajaan persekutuan memberi mengiktiraf UEC, ianya akan menguntungkan Negara secara keseluruhanya dan bukan hanya pelajar sekolah Cina sahaja.


Pada aku ketiga-tiga langkah yang telah diambil oleh Tok Nan selaku Ketua Menteri Sarawak membuktikan sesuatu dasar itu boleh diubah oleh pemerintah dan ianya tidak kaku dan beku kerana peraturan serta undang-undang dunia ini dibentuk oleh manusia. Perubahan boleh dilakukan seiring zaman kerana semua kaum mempunyai jasa terhadap pembangunan negara, justeru melabelkan sesuatu kaum sebagai ‘lain-lain’ atau pun pendatang tidak lagi wajar dalam konteks negara yang sudah merdeka melebihi 50 tahun. Sama juga memberi pengiktirafan kepada pendidikan yang berbeza tidak merugikan negara atau negeri malah mungkin ianya boleh menjadi ‘compliment’ kepada sistem pendidikan yang ada di negara ini. Lihat di negeri Sarawak di mana semakin ramai anak-anak Melayu dan bumiputera belajar di sekolah aliran Cina kerana terbukti kaedah mengajar ilmu matematik mereka lebih baik daripada kaedah yang ada disekolah kebangsaan. Syabas Tok Nan, semoga ianya memberi harapan baru kepada pelajar-pelajar aliran Cina di negeri Sarawak. Inilah usaha seorang pemimpin yang mampu melihat keperluan dan kehendak masyarakatnya, meskipun kaum Cina masih belum percaya sepenuhnya, namun sekurang-kurangnya usaha Tok Nan pasti mampu meraih sedikit kepercayaan dan keyakin pengundi Cina terhadap Barisan Nasional Sarawak.

Nya aja jako aku masa tuk you you .. kelak bejako agi..

No comments:

Post a Comment