Saturday, October 17, 2015

BN Sarawak #theAdenanWay

Ramai yang kata BN Sarawak mampu memenangi pilihanraya negeri yang akan datang berdasarkan populariti CM Sarawak, Tok Nan yang disifatkan memahami kehendak rakyat Sarawak dengan mengemukakan pelbagai dasar baharu yang dekat di hati rakyat. Sebelum ini aku juga menulis mengenai beberapa dasar baharu CM Sarawak yang dikatakan sempoi dan bersahaja ini .. dan antara dasar baharu beliau yang amat disenangi rakyat ialah penghapusan bayaran tol di dua buah jambatan, iaitu jambatan Lanang dan juga Baram. Meskipun pada pandangan umum, ianya tidak signifikan namun di mata rakyat biasa, terutamanya yang menggunakan kedua-dua jambatan tersebut setiap hari, ianya amak bermakna kepada mereka.Kutipan tol di jambatan Lanang dihentikan pada 24 Mei, 2015 (Sinar Harian, 24 Mei 2015). Selain itu, CM Sarawak juga telah mengurangkan tambang perkhidmatan feri di sungai-sungai di negeri Sarawak kepada RM1.00 sahaja berbanding sebelum ini yang boleh mencecah puluhan ringgit bagi sebuah kenderaan. Lebih mengembirakan rakyat Sarawak ialah usaha Tok Nan menurunkan tariff elektrik. Tariff elektrik bagi pengguna domestik Sarawak diturunkan hingga 47 peratus bermula 1 Januari 2015 (BH Online, 19 November 2014). Menurut Tok Nan, secara keseluruhannya hamper 50 peratus pengguna elektrik Sarawak Energy Berhad(SEB) akan menikmati penurunan tariff antara 20 peratus hingga lebih 40 peratus (BH Online, 19 November 2014).

Kekecohan mengenai GST di seluruh negara mencetuskan pelbagai komen negatif terhadap pimpinan DS Najib Razak, namun Tok Nan telah mengambil tindakan mengurangkan bebanan rakyat dengan mengumumkan kerajaan negeri akan membantu membayar GST bagi perkhidmatan majlis perbandaran dan kerajaan. Ini bermakna rakyat Sarawak tidak perlu membayar Cukai Barangan dan Perkhidmatan ke atas semua perkhidmatan majlis perbandaran dan kerajaan (BP, 25 Mei 2015). Perkara yang amat-amat mengembirakan rakyat Sarawak ialah usaha Tok Nan untuk mendapatkan tambahan royalti minyak untuk negeri Sarawak. Isu royalti minyak ini telah digunakan oleh pihak pembangkang untuk mempengaruhi pengundi namun sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab Tok Nan dengan berani menyuarakan tuntutan royalty minyak yang lebih tinggi daripada kerajaan pusat meskipun beliau pasti ada risikonya. Walaupun setakat ini tiada kata putus daripada kerajaan persekutuan mengenai isu berkenaan namun ada tanda-tanda positif hasil tuntutan tersebut dimana Petronas telah mengumumkan sumbangan sebanyak RM90 juta untuk melaksanakan tanggungjawab sosial (CSR) di Sarawak dalam tempoh lima tahun bermula tahun ini (BH Online, 1 Julai 2015). Sumbangan itu disalurkan untuk pelaksanaan beberapa inisiatif termasuk memperkasa pendidikan, pembangunan komuniti serta pemulihan alam sekitar di negeri Sarawak. Selain Petronas juga akan membina sebuah sekolah teknikal di Sarawak dan syarikat dari negeri Sarawak akan diberikan kontrak petronas yang dianggarkan berjumlah RM2.1 bilion setahun.

Perkara yang paling membuka mata seluruh negara ialah keberanian Tok Nan ‘taking the bull by its’ horn’ dalam menangani masalah pembalakan haram. Keseriusan Tok Nan dibuktikan dengan menutup lebih 30 kilang papan yang mempunyai balak haram di seluruh negeri  serta membatalkan serta tidak memperbarharui lesen pembalakan. Tok Nan mengulangi pendirian nya tegas pihaknya terhadap pelanggaran sebarang syarat pemberian lesen pembalakan oleh pemegang lesen, kontraktor dan sub kontraktor dan tindakan tegas akan diambil termasuklah pembatalan lesen itu (Utusan Online, 21 Januari 2015). Bagi meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan negeri, Tok Nan mengambil langkah berani dengan mengajak 26 orang ADUN BN Sarawak dan 30 orang Setiausaha politik  menandatangani ikrar integriti. “SPRM menyambut baik dan gembira dengan kerjasama yang diberikan oleh kerajaan negeri Sarawak” kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Abu Kassim Mohamed (Utusan Online, 8 April 2015). Tok Nan percaya ikrar integriti itu membuktikan kepada rakyat bahawa wakil rakyat BN Sarawak ikhlas berkhidmat.

Isu penggunaan kalimah Allah di semenanjung telah mencetuskan provokasi dan ketidaksenangan golongan bukan Islam sehingga wujud ketegangan dalam hubungan antara kaum. Pun begitu, perkara ini tidak menjadi satu isu di Sarawak dan rakyat Sarawak yang sudah biasa hidup dalam keadaan harmoni selama ini tidak tergugat dengan provokasi yang dicetuskan oleh pelampau agama di Semenanjung. Bagi mengukuhkan keyakinan golongan bukan Islam di Sarawak, Tok Nan mengambil langkah berani dengan menentang arus pandangan rakan-rakan BN di kerajaan persekutuan dengan membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh pihak Kristian. “Kita sebagai umat Kristian di negeri ini tidak perlu bimbang akan penggunaan kalimah Allah kerana ia adalah dibenarkan di gereja-gereja malah ia turut disokong oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem sendiri” kata ADUN Opar, YB Ranum Mina (BP, 5 Jun 2015). Malah dalam kes ini kerajaan Sarawak dengan berani telah menghalang beberapa pemimpin parti politik dan agama samada dari BN atau dari pembangkang yang bersikap pelampau agama dan bangsa menjejak kaki ke negeri Sarawak.

Aku pasti apa yang dilakukan oleh YB CM Sarawak setakat ini, amat-amat disenangi oleh sebahagian besar penduduk Sarawak dan populariti beliau dikalangan masyarakat Cina juga semakin meningkat. Ini diakui sendiri oleh beberapa pemimpin pembangkang negeri Sarawak dan ini amat meresahkan mereka terutamanya DAP dan PKR. Banyak lagi usaha-usaha yang telah dilakukan oleh Tok Nan untuk rakyat Sarawak sejak beliau memerintah negeri Sarawak. Beliau hanya memohon kepada pengundi-pengundi untuk memberi kepercayaan lima tahun lagi kepada beliau untuk menerajui negeri Sarawak agar dapat meningkatkan lagi pembangunan negeri. Dalam tempoh yang singkat Tok Nan telah memberi satu pengharapan yang amat tinggi kepada rakyat agar pembangunan negeri Sarawak setara dengan pembangunan di semenanjung Malaysia. Sama-samalah kita menyokong usaha beliau ini. ..


Ya ajak dolok dapat aku menulis tentang usaha CM Sarawak … kelak nulis agik.. kerna banyak agik yang perlu diperjelas supaya orang negeri Sarawak tau ..apa ya nok udah dipolah Tok Nan .. dalam masa setaun dua tuk … 

No comments:

Post a Comment