Tuesday, March 17, 2015

PRN SARAWAK .. SIAPA KEKAL ?

YAB Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mohon diberi satu penggal lagi untuk memimpin negeri Sarawak dalam usahanya untuk memajukan lagi negeri tersebut. Hasrat YAB DP Tan Sri Adenan disokong penuh oleh kepimpinan PBB dan juga ahli cabinet negeri Sarawak. Malah sebahagian besar rakyat Sarawak menyokong hasrat Ketua Menteri berdasarkan amalan pendekatan yang lebih terbuka oleh DP Tan Sri Adenan Satem sejak beliau menggantikan Pehin Sri Taib Mahmud. Setiap pemimpin ada cara atau stail tersendiri apabila menjadi pemimpin utama yang mengetuai kepimpinan negeri .. ada yang sama dan ada yang berbeza .. sepertimana kepimpinan di peringkat persekutuan .. dimana setiap Perdana Menteri mempunyai stail dan pendekatan masing-masing. Ada yang suka da nada yang tak suka .. kerana amatlah sukar untuk setiap pemimpin memberi kepuasanhati kepada semua orang . Yang paling penting ialah pemimpin yang mengambil alih kepimpinan itu tahu dan merasai denyut nadi serta kehendak rakyat. YB Sharifah Hasidah mengatakan ‘Tan Sri Adenan perlu diberi peluang untuk terus memimpin negeri Sarawak kerana segala keputusan yang beliau ambil setakat ini adalah berdasarkan ‘peoples centric decision’ yang bermaksud keputusan berdasarkan kehendak rakyat Sarawak’ (RTM, 17 Mac 2015). 

Justeru dalam PRN ke 11 nanti, DP Tan Sri Adenan Satem akan bertanding untuk mempertahankan kerusi DUN Tanjung Datu. Amat menarik untuk kita lihat siapa akan dikekalkan pada pilihan raya DUN Sarawak ke 11 nanti selain DP Tan Sri Adenan Satem yang sudah berusia 71 tahun memimpin negeri Sarawak ke satu tahap yang lebih tinggi. Berdasarkan 71 Dewan Undangan Negeri yang sedia ada parti PBB mendominasi senarai calon kerana PBB adalah tunjang kepada BN negeri Sarawak. Dalam PR DUN ke 10 lalu, PBB menang 100 peratus kawasan yang mereka tandingi walaupun menampilkan beberapa muka baru di beberapa kawasan iaitu N5 Demak Laut, N24 Beting Maro, N30 Saribas, N35 Belawai,  N36 Semop, N49 Nangka, N62 Lambir dan N67 Telang Usan. Setakat ini aku lihat semua ahli YB dari parti PBB masih perlu dikekalkan. SUPP pula telah bertanding di 19 kawasan tetapi hanya memenangi enam (6) kawasan, iaitu N1 Opar,N27 Simanggang N47 Bawang Assan,N28 Engkilil dan N65 Senadin. Walau bagaimana pun SUPP kini hanya mempunyai YB Datuk Francis Harden (N 27 Simanggang) dan YB Datuk Lee Kim Shin (N65 Senadin) sebagai wakil mereka kerana yang lain sudah keluar dari SUPP dan menubuhkan parti baru iaitu UPP yang dipimpin oleh Datuk Seri Wong Soon Koh. Perkara sama juga berlaku dengan SPDP yang telah memenangi enam(6) daripada lapan(8) kawasan yang mereka tandingi dalam PR Negeri Sarawak ke-10. Kesemua ADUN SPDP telah keluar parti dan lima(5) daripada mereka telah menubuhkan parti baru iaitu TERAS dan dipimpin oleh bekas Presiden SPDP, Datuk Seri William Mawan Ikom yang juga merupakan Ahli Parlimen Saratok. Setakat ini SPDP tidak mempunyai sebarang wakil dalam kerajaan negeri Sarawak. ADUN 2 Meluan, Wong Judat pula telah menyertai parti SWP (Sarawak Workers Party) yang dipimpin oleh Larry Sng. PRS di bawah kepimpinan Datuk Seri James Jemut Masing menang di lapan(8) daripada Sembilan(9) kawasan DUN yang ditandingi. PRS kalah di N54 Pelagus yang sebelum ini disandang oleh Larry Sng yang telah dipecat daripada BN. N54 Pelagus dimenangi oleh calon Bebas George Lagong yang kini juga menyertai SWP.

Daripada keempat-empat parti komponen BN negeri Sarawak, SUPP dan SPDP dilihat paling menghadapi masalah untuk mengemukakan calon mereka kerana SUPP mengalami kekalahan yang paling teruk dalam sejarah mereka sejak pilihanraya tahun 1974. Hampir kesemua calon mereka di kawasan bandar tewas kepada samada calon DAP atau PKR yang lebih muda dan aggresif. Walaupun SUPP cuba untuk menampilkan calon-calon yang mempunyai kelayakan akademik yang cemerlang seperti Prof. Dr.Sim Kui Hian, pengundi Cina langsung tidak memberi peluang kepadanya untuk menjadi wakil rakyat mereka. Berdasarkan undian, calon SUPP di bandar-bandar tewas dengan majoriti yang agak besar kecuali di kawasan N13 Batu Kawa dimana wakil DAP Christina Chew Wang See hanya menang dengan kelebihan 543 undi. Pun begitu calon-calon bumiputera SUPP pula diterima oleh pengundi bumiputera tetapi kini yang tinggal hanya ADUN N27 Simanggang yang terus setia kepada SUPP. ADUN lain semua sudah bersama DS Wong Soon Koh, termasuk ADUN N28 Engkilili yang pernah bertanding atas tiket calon BEBAS tetapi diterima sebagai wakil SUPP. Persoalanya kini ada lagi kah calon-calon dari SUPP yang berwibawa, berkualiti yang boleh diketengahkan sedangkan selama ini SUPP amat jarang menampilkan calon-calon muda yang mempunyai akademik seperti calon-calon DAP dan PKR. Mampukah calon-calon muda SUPP menarik minat pengundi muda di kawasan majoriti pengundi Cina dan menyaingi calon dari pakatan rakyat apatah lagi jika UPP juga bertanding di kawasan yang sama. Selain itu siapa kah calon bumiputera SUPP di kawasan yang pernah dimilikinya untuk bertanding di N1 Opar, N16 Bengoh dan N28 Engkilili. Ketiga-tiga wakil UPP ini dikatakan masih popular di kawasan mereka dan mampukan calon baru SUPP mempengaruhi pengundi di ketiga-tiga kawasan ini. Apakah pilihan raya Sarawak ke 11 nanti menjadi penentu survival sebuah parti politik yang pernah berjasa mengangkat maruah , membangunkan dan memperjuangkan nasib masyarakat Cina satu ketika dahulu di Sarawak.

SPDP pula dilihat akan bergelut untuk memilih  calon-calon baru bagi bertanding di semua kawasan yang pernah mereka miliki. Walau pun terpaksa menerima hakikat bahawa bekas-bekas ahli mereka sememangnya lebih popular dan masih diterima pengundi kawasan, SPDP perlu mengekalkan tempo yang positif, iaitu pengundi-pengundi mungkin menukarkan pendirian kerana disifatkan wakil rakyat yang mereka undi ‘mengkhianati’ kepercayaan mereka dengan melompat keluar parti. Tidak semua ahli-ahli SPDP di akar umbi menyertai YB mereka dan ini akan menjadi penentu kepada siapa calon yang lebih layak untuk diundi samada TERAS atau SPDP. Beberapa calon TERAS memang diakui pasti menang jika bertanding sekali lagi namun jika SPDP mempunyai calon yang lebih baik, tidak mustahil calon-calon sedia ada TERAS bakal mengakhiri karier politik mereka sebagai ahli Yang Berhormat dalam pilihan raya DUN ke 11 nanti. SPDP yang kini dipimpin oleh DS Tiong King Sing dilihat masih mampu mengugat TERAS jika calon-calon yang di kemukakan lebih baik dan lebih berkemampuan. Sesungguhnya pengaruh beberapa calon TERAS tidak lah begitu kuat jika dilihat dari keputusan pr DUN ke 10 lalu, kecuali di kawasan N66 Marudi. Pastinya pr DUN ke 11 nanti akan menyaksikan lebih ramai calon yang berwibawa bertanding di beberapa kawasan pedalaman yang pastinya akan menyukarkan calon-calon SPDP dan juga TERAS. Apakah DS William Mawan Ikom akan bertanding semula di kawasan N41 Pakan atau memberi ruang kepada calon baru dalam pr DUN ke 11 nanti? Siapa calon SPDP untuk menentang DS William Mawan di Pakan andainya ada pertandingan terbuka dibenarkan oleh YAB Ketua Menteri Sarawak nanti?


Apapun siapa kekal siapa tidak dicalonkan semuanya terpulang kepada keputusan kepimpinan BN negeri Sarawak. Yang utama ialah Sarawak terus kekal stabil, aman dan tidak berlaku provokasi kaum dan agama sepertimana yang berlaku di Semenanjung . Mengekal perpaduan harus diberi keutamaan oleh semua parti politik negeri Sarawak … jangan gadaikan keamanan dan kestabilan negeri kerana kerakusan untuk berkuasa .. jangan lelong perpaduan kaum kerana ketamakan untuk menjadi pemimpin dan kepentingan peribadi … 

No comments:

Post a Comment