Friday, May 2, 2014

Sombong..Bongkak ..Angkuh ..Apa lagi ye?

Kenapa manusia menjadi sombong ? Apa penyebab mereka menjadi bongkak ? Selain perkataan sombong, bongkak..ada lagi perkataan yang berkaitan..iaitu angkuh. Menurut  sebuah hadis ‘Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan manusia’ (Riwayat Muslim). Ada yang mendefiniskan sombong, bongkak, angkuh atau ego ini sebagai membesarkan diri kerana merasakan diri mempunyai kelebihan, keistimewaan dan kehebatan. Sombong dalam Bahasa Inggeris ialah arrogant yang didefinisikan sebagai ‘having or revealing an exaggerated sense of one’s own importance or ablities’ .  Imam Al Ghazali menyifatkan orang sombong ini berpenyakit, iaitu penyakit hati yang amat berbahaya dan beliau menggariskan tujuh (7) cara untuk mengenali orang yang sudah dijangkiti virus sombong .

Pertama katanya ialah apabila seseorang itu merasakan dirinya mempunyai pengetahuan ilmu yang lebih tinggi daripada orang lain, baik ilmu dunia atau ilmu akhirat.  Dia menganggap orang ain jahil dan tidak berpengetahuan hinggakan tidak mempedulikan apa pun pandangan orang lain walaupun pandangan itu lebih baik daripada pandangan dirinya. KeSOMBONGan ini menyebabkan dirinya mohon atau sentiasa minta dihormati terutamanya di khalayak ramai dan menuntut orang lain untuk memuliakan nya. Virus sombong seperti ini banyak berlaku dalam sektor awam dimana ada dikalangan mereka yang sudah menuntut ilmu sehingga mendapat sarjana dan kedoktoran..dan merasakan diri mereka lebih layak untuk mendapat lebih baik daripada apa yang orang lain dapat yang tidak mempunyai tahap ilmu yang mereka ada. Malah ada yang merasakan idea-idea orang lain itu tidak bernas dan tidak masuk akal kerana merasakan teori-teori mereka lebih baik berbanding amalan yang dikemukakan oleh orang lain …

Kedua keSOMBONGan melanda hati seseorang manusia apabila mereka lebih beribadat daripada orang lain dan merasakan tiada orang lain mampu beribadat seperti mereka dan menggangap orang lain jahil dan tidak sewarak mereka. Golongan seperti ini sentiasa mempersoalkan akhlak orang lain dan juga menghina orang lain yang tidak bersembahyang seperti mereka. Sombong, riak dan takabur  hingga jika ada orang melakukan kesilapan, mereka akan sudah jatuhkan hukum terhadap orang tersebut seolah-olah mereka adalah juri dan hakim untuk dunia dan akhirat. Golongan seperti ini boleh kita lihat berkeliaran di dalam organisasi, kampong dan juga taman-taman perumahan dan sentiasa memperkatakan tentang akhlak orang lain tetapi tidak melihat akhlak diri sendiri.

Memperkasakan keturunan juga adalah keSOMBONGan yang ketiga dimana ada golongan yang merasakan diri mereka daripada golongan bangsawan, golongan yang berketurunan mulia dan sering mengaitkan diri mereka dengan nenek moyang yang keramat dan hebat. Masyarakat kita, terutamanya masyarakat melayu masih lagi dibelenggu dengan hal-hal keturunan apabila ingin menjalinkan silaturrahim. Contoh terbaik ialah ceritera Kassim Selamat ..lakonan P.Ramlee ..masih ingat dialog ‘Siapa Kassim Selamat? Doktor? Lawyer? Pantang keturunan aku…” dan ia masih berlaku dalam masyarakat hari ini seperti yang sering dipaparkan di dalam TV. Kalau bukan anak hartawan, kalau bukan anak orang kaya, kalau bukan anak orang ternama …orang lain tidak layak untuk menjadi menantu kerana keturunan orang lain semuanya tidak setaraf atau tidak semulia mereka ..itulah keSOMBONGan masyarakat kita yang masih kekal hingga ke hari ini…

KeSOMBONGan keempat, menurut Iman Ghazali ialah kecantikkan hingga ada yang merasakan orang lain tidak sempurna dan sanggup menghina atau menyindir. Kecantikkan dan kesempurnaan ialah anugerah Tuhan dan tiada siapa ingin menjadi hodoh, pendek ataupun berkulit gelap . Pun begitu kerana ramai yang ingin menjadi cantik ..maka bermacam-macam produk dihasilkan oleh manusia untuk menjadikan diri mereka cantik, bergaya malah ada yang sanggup membuat pembedahan dan mengubah apa yang dikurniakan oleh Tuhan.

Kelima, keSOMBONGan manusia yang diberikan kelebihan harta hingga lupa daratan, keSOMBONGan manusia yang diberikan pangkat yang lebih tinggi daripada orang lain hingga memandang rendah kepada kedudukan orang lain. Kekayaan mengaburi mata dan naluri insan dalam diri mereka dan sanggup menghina orang yang tidak mempunyai apa yang mereka miliki. Pangkat yang lebih tinggi menyebabkan mereka lupa asal usul mereka hingga mereka tidak memperduli apa pandangan atau pendapat orang lain.Inilah keSOMBONGan manusia yang paling hina dan menjadi penyakit yang amat serius dalam masyarakat kita.

Keenam, manusia juga menjadi sombong apabila dianugerah dengan kekuatan fizikal dan menunjuk-nunjuk kegagahan diri di mata masyarakat untuk mendapat pujian dan sanjungan seperti menarik bas dengan rambut atau gigi dan mampu menahan kesakitan dihempap batu dan dicucuk dengan besi dan akhir sekali manusia menjadi SOMBONG apabila merasakan diri mereka mempunyai pengikut yang ramai dan berbangga dengan kebolehan nya mempengaruhi ramai manusia untuk menurut kata-katanya untuk melakukan apa sahaja ..hatta hingga terlupa perbuatan nya boleh merosakkan negara dan juga perpaduan bangsa…


Justeru, periksa diri kita samada kita juga tergolong di dalam tujuh (7) petunjuk orang-orang yang dijangkiti virus SOMBONG ..penawarnya ada ditangan kita sendiri kerana sesungguhnya penyakit SOMBONG lambat laun akan memakan diri sendiri.

No comments:

Post a Comment