Friday, September 5, 2014

MERDEKA ! MERDEKA ! MERDEKA ?

Ahaaaa!!! .. seronok melihat perbarisan sambutan kemerdekaan pada 31 Ogos lalu … berbagai karenah .. gaya dipenuhi dengan warna warni yang ceria menunjukkan semangat betapa erti MERDEKA dalam setiap individu dalam perbarisan maupun yang menonton nya begitu tinggi sekali!! Megah berkibar Jalur Gemilang … di tiang, pokok, rumah, premis perniagaan, kereta dan juga di tangan-tangan ribuan manusia yang riang ceria … gembira menyambut Hari Kemerdekaan. Erti sebuah kemerdekaan kepada satu negara yang dihuni pelbagai bangsa ..dengan kepelbagaian budaya, perbezaan tutur bahasa etnik serta kepercayaan. Sesungguhnya sambutan Hari Kemerdekaan telah menyatukan negara yang masih lagi diselubungi kesedihan kehilangan MH370 dan tragedi MH17 .. sambutan kemerdakaan disambut meriah di setiap pelusuk negara dengan pelbagai acara dan aktiviti sebagai satu tanda bahawasanya Malaysia sebuah negara yang MERDEKA .. bebas dari penjajahan …

Maksud MERDEKA dari segi bahasanya ialah bebas, kebebasan dari pengaruh mana-mana pihak dan dalam konteks negara Malaysia, kebebasan dari penjajahan mana-mana kuasa negara luar. Pun begitu apakah ertinya MERDEKA untuk sebahagian besar warganegara kita? Aku bertanyakan sedemikian rupa kerana masih ada dikalangan anak-anak Malaysia yang masih ‘dipengaruhi’ oleh kuasa kolonial dengan pemikiran yang sempit dan terhad sekali. Antara pemikiran kolot, sempit dan tidak bertamaddun sebahagian anak-anak Malaysia (yang mengaku mereka bijak pandai) ialah dua negeri di wilayah kepulauan Borneo masih lagi tidak membangun dan rakyatnya masih hidup dalam hutan serta mengamalkan kehidupan bebas tanpa pegangan agama. Malah pemikiran sebegini digunapakai oleh sebuah parti politik Semenanjung yang mendakwa kekalahan parti mereka adalah disebabkan penduduk negeri Sarawak masih menggunakan ‘cawat’ sebagai perbandingan betapa mundurnya pemikiran pengundi negeri Sarawak. Maka sebab itulah aku mengatakan mereka yang masih berfikiran begini masih belum MERDEKA sepenuhnya dari segi intelek dan keupayaan bagi menggunakan otak serta akal yang diberi oleh Tuhan untuk berfikir secara waras dan menyumbang kepada keharmonian dan perpaduan bangsa serta negara.

Pada pandangan aku juga ramai lagi warganegara kita tidak MERDEKA dari segi perlakuan mereka kerana masih diselubungi dengan pemikiran sebagai TUAN. Aku berkata demikian kerana sebahagian besar masih membuang sampah sesuka hati mereka dimana sahaja disebabkan mereka merasakan ada orang lain akan mengutip sampah-sampah itu dan membersihkan kawasan mereka!! Golongan ‘kaki buang sampah’ ini jadikan jalan raya, sungai, kawasan perumahan, longkang, parit dan dimana sahaja sebagai ‘tong sampah’ mereka walaupun pihak berkuasa sudah menyediakan tong-tong sampah untuk kegunaan mereka membuang sampah. Mereka merasakan mereka adalah TUAN dinegara ini disebabkan ramai pekerja Indonesia dan Bangladesh yang bekerja sebagai pengutip sampah dan tukang bersih kawasan. Bagi mereka .. menjaga kebersihan kawasan adalah kerja-kerja orang lain..bukan tanggungjawab mereka .. dan pada pandangan aku .. golongan ini tidak MERDEKA dari segi pemikiran dan perlakuan.

Sapa lagi yang tidak MERDEKA? Pada aku golongan yang aku rasa masih dibelenggu oleh sikap taksub..sikap ‘over’ terlampau .. yang sering mengeluarkan kenyataan rasis, mengeluarkan kenyataan provokasi terhadap agama serta kepercayaan orang lain. Mempertahankan agama atau kepercayaan tidak salah..tetapi biarlah ianya tidak menyentuh agama orang lain..mengguris perasaan rakan-rakan sewarganegara yang selama ini membesar bersama kita … pada aku eloknya kita perkukuhkan pegangan agama kita..ukhwah kita .. dan perteguhkan iman kita daripada menunding jari kepada agama dan kepercayaan orang lain … sama la juga dengan golongan-golongan yang tak henti-henti mengeluarkan kenyataan rasis … berbaur perkauman … pada pandangan aku tiada siapa pun di kalangan kita ini boleh mengatakan bahawa kaum kita lebih baik dari kaum lain.. kerana semua kaum telah sama-sama menyumbang ke arah pembangunan negara .. jangan sampai ada dikalangan kita yang di ‘telanjangi’ asal usul moyang kita .. oleh orang lain kerana asyik menuding jari bahawa orang lain itu pendatang … sedangkan diri kita belum pasti bagaimana moyang kita berada di negara ini. MERDEKA kan lah pemikiran kita agar kita boleh bersatu di bawah satu paying yang dinamakan MALAYSIA .. supaya negara ini boleh bergerak ke hadapan untuk mencapai cita-cita dan wawasan menjadi sebuah negara yang membangun.. sepertimana yang kita inginkan.!! MERDEKA kan lah hati kita ..dari perasaan buruk sangka … supaya kita MERDEKA..BEBAS dari rasa iri hati ..benci dan sifat hasad dengki antara kaum.

MERDEKA bukan bermakna kita bebas melakukan apa sahaja tanpa batasan sepertimana yang gemar untuk ‘bertelanjang’ ..kerana negara kita mempunyai adab dan tatasusila .. jangan kerana negara ini MERDEKA .. kita juga nak MERDEKA dari menggunakan pakaian kita … atau nak berkata-kata tanpa batasan..hingga menyinggung perasaan … MERDEKA bermakna kita seharusnya patuh kepada segala prinsip yang telah menjadi akujanji kita kepada negara ini, iaitu RUKUN NEGARA .. lima (5) prinsip utama yang harus menjadi pegangan hidup kita sebagai warganegara..sebagai rakyat Malaysia … itu adalah tonggak..tiang seri negara yang harus kita sentiasa junjung .. agar kita tidak terlepas dari landasan .. tidak salah mempersoalkan kewajaran .. asalkan tidak menyentuh sensitiviti teman.. atau rakan yang ada disekeliling kita … dan kita juga harus tidak terlalu sensisitif hinggakan perkara remeh temeh pun kita nak ungkit dan bangkit …

Pada aku pertahankan negara ini tidak semestinya menggunakan senjata semata-mata, apa salahnya seluruh rakyat bersama bersatu .. mempertahankan negara dengan terus menerima, menghayati dan memahami rakan sewarganegara yang berbeza kaum, etnik, bahasa, budaya dan agama … kerana itulah pertahanan yang paling kukuh dan utuh .. bak kata perumpaan lama ‘bersatu kita teguh..bercerai kita roboh’ … satu pengkhianatan akan mengakhiri sebuah kegemilangan bangsa.. meruntuhkan empayar.. mendurjanakan kehidupan yang selesa …


MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

No comments:

Post a Comment