Friday, December 7, 2012

Kuasa dan Pemimpin

Kuasa seringkali didefinisi sebagai keupayaan untuk mempengaruhi tingkahlaku orang lain tanpa rintangan atau tidak. Autoriti dikaitkan dengan kuasa  yang diterima oleh masyarakat sejagat. Kuasa boleh bersifat jahat atau tidak adil tetapi perlaksanaan kuasa diterima perkara biasa ke atas manusia yang bersifat sosial

Pemimpin adalah seseorang yang mampu mempengaruhi sekumpulan manusia untuk mencapai matlamat atau seseorang yang memegang jawatan atau  berkedudukan tinggi dalam organisasi yang mampu mengawal atau mempengaruhi orang lain.Kalau nak bercerita tentang pemimpin dan juga kepimpinan sememangnya banyak buku rujukan yang boleh digunapakai oleh mana-mana individu yang bercita-cita untuk menjadi pemimpin samada pemimpin politik, pemimpin persatuan mahu pun pemimpin dalam organisasi.

Dua perkara di atas, iaitu Kuasa dan Pemimpin sukar dipisahkan kerana kedua-duanya berjalan seiring. Seorang pemimpin perlu kuasa untuk berkuasa dan kuasa perlu ada pada seorang pemimpin untuk memimpin sesebuah ogranisasi. Kuasa tiada makna jika tidak ada pemimpin dan menjadi seorang pemimpin tidak bermakna jika tiada kuasa untuk melaksanakan segala dasar dan peraturan-peraturan dalam organisasi. Maka jika ada pemimpin, adalah kuasa. Pun begitu, sebenarnya kuasa memimpin tidak semestinya ada terletak ditangan seorang pemimpin atasan semata-mata kerana seseorang individu yang berkedudukan di tengah-tengah organisasi boleh berkuasa untuk memimpin bagi mencapai matlamat organisasi, menurut buku 360 Degree Leader, tulisan John.C Maxwell.

Keluhan dan rintihan anggota bawahan terhadap kepimpinan organisasi banyak kali didengar dan antara yang sering diperkatakan ialah ketidakperihatinan pemimpin terhadap kebajikan anggota. Ada juga yang mengatakan pemimpin menyalahguna kuasa dan menunjukkan kuasa mereka kepada anggota-anggota yang dianggap tidak sebulu atau tidak geng dengan pemimpin, iaitu tidak sealiran pandangan dan pendapat. Ada juga dikalangan anggota yang seolah-olah dipinggirkan kerana berpandangan ultra serta sering memberi pandangan yang dianggap mencabar kewibawaan kepimpinan organisasi. 



Jika benarlah perkara sebegini masih berlaku dalam sesebuah organisasi maka tidak layak bagi pemimpin itu terus memimpin organisasi tersebut kerana lambat laun segala tindakan-tindakan yang dilakukan nya akan membawa kepada kemerosotan prestasi organisasi secara keseluruhan. Pegawai dan staff lambat laun akan menolak untuk melakukan kerja dengan lebih baik dan dalam diam akan berusaha mensabotajkan segala program dan aktiviti yang dilaksanakan. Ini boleh berlaku kerana seorang pemimpin memerlukan sekumpulan manusia untuk dipimpin dan sekumpulan manusia inilah yang akan melaksanakan segala arahan dan tugas bagi mencapai matlamat organisasi. Pemimpin tidak boleh menggunakan kuasa veto atau kuasa ugutan kerana secara prinsipnya seorang pemimpin adalah role model, seorang pembimbing, seorang penasihat, seorang pendidik yang akan membentuk serta mengawal hala tuju organisasi. 

Teringat satu ketika dulu, seorang Ketua Jabatan pernah memberitahu saya 'I am the boss so i have every right to do what i want in this office and you remember it as long as you are working under me' dan betapa saya ingat hingga ke hari ini sebagai satu peringatan kepada diri supaya tidak bertindak sedemikian sekiranya saya ditakdirkan memimpin sebuah organisasi satu hari nanti. Mungkin perkara ini masih di amalkan di organisasi berkenaan kerana maklumat yang diterima daripada rakan-rakan, segala tindakan yang dilakukan tidak mencerminkan pengurusan dan pentadbiran yang bersifat perihatin kepada kebajikan anggota. Saya sering tertanya-tanya apakah mereka lupa satu hari nanti mereka akan berpencen dan jawatan yang mereka sandang pada hari ini tidak akan dibawa bersama. Apakah mereka lupa bahawa apabila sudah berpencen nanti mereka juga seperti orang lain..menjadi orang awam yang tidak mempunyai jawatan dan pengaruh lagi? 

Saya juga teringat bagaimana seorang Ketua Jabatan tidak dilayan oleh bekas anggota organisasi apabila beliau melawat organisasi tersebut di Sarawak satu ketika dulu kerana anggota-anggota masih lagi terkenang bagaimana tindak tanduk beliau semasa beliau berkuasa. Semua anggota keluar dari pejabat apabila melihat beliau melangkah masuk kerana tidak mahu melayan beliau. Kesian. Sampai sekarang beliau tidak lagi berani menjenguk pejabat tersebut. Semuanya gara-gara sikap ketegasan yang keterlaluan dan sikap pilih bulu apabila melakukan beberapa tindakan seperti soal transfer dan kebajikan. Saya pernah bertanya kepada beliau semasa beliau masih menjawat jawatan Pengarah, kenapa seorang pegawai lelaki itu tidak boleh menangguh transfer beliau manakala seorang staff wanita boleh pulak menangguh untuk transfer walaupun staff tersebut masih bujang, walhal pegawai lelaki tadi ada urusan keluarga untuk diselesaikan? Jawapan beliau cukup klasik. 'Aku yang berkuasa dan aku yang menentukan boleh atau tidak boleh seseorang itu menangguhkan urusan transfer..ikut suka aku dan you have no business dalam perkara ini'. Baguskan jawapan itu..dan ini berlaku 15 tahun lalu. 

Sifat kepimpinan yang baik, berdasarkan apa yang saya baca dan berdasarkan apa yang saya di ajar dalam kursus-kursus ialah pemimpin perlu mempunyai kemahiran mendengar selain kemahiran berkomunikasi dan juga kemahiran untuk memotivasikan warga kerja organisasi mencapai matlamat prestasi yang tinggi. Tidak dinafikan seorang pemimpin perlu tegas dalam setiap keputusan, tetapi biarlah ketegasan itu bertempat. Saya hormati orang yang tegas dan berhemah tetapi amat membenci pemimpin yang suka serkap jarang dan membuat keputusan membuta tuli. Apa yang berlaku di sebuah organisasi di Sarawak ialah seringkali keputusan dibuat berdasarkan emosi dan cakap-cakap orang sekeliling hingga pemimpin kabur dengan masalah sebenar yang dihadapi oleh anggota. Berilah peluang anggota menjelaskan perkara sebenar sebelum tindakan dilakukan. Jangan kerana nak tunjuk kuasa,  anggota di aniaya hingga menjejaskan kualiti hidup mereka. Harus diingat bahawa jika kualiti hidup anggota terjejas, prestasi kerja juga terjejas. Apabila emosi warga kerja terganggu kerana tekanan hidup, segala kerja-kerja di jabatan juga terganggu. Ingatlah tidak selamanya kita menjadi seorang Ketua Jabatan dan tidak selamanya kita berkuasa. Sedarlah bahawa jawatan yang kita pegang itu satu amanah yang dipertanggungjawabkan untuk kita laksanakan dengan adil dan saksama. Hidup ini umpama roda..jika hari ini kita melakukan sesuatu yang buruk ke atas orang lain..satu hari nanti orang akan melakukan perkara yang sama, samada terhadap kita atau pun kepada anak cucu kita.






No comments:

Post a Comment