Tuesday, December 11, 2012

Ketua, Pemimpin dan Organisasi

Pemimpin merupakan individu yang boleh memberi pengaruh kepada individu yang lain di dalam suatu pertubuhan. Kepimpinan atau Leadership ialah aktiviti mengetuai sekumpulan manusia atau sesebuah organisasi dengan keupayaan untuk melakukan perkara-perkara berikut :- 
a) mempunyai visi yang jelas ; b) berkongsi visi dengan orang lain untuk mencapai matlamat ; c) menyediakan maklumat, pengetahuan dan cara untuk mencapai matlamat ; d) menyelaras dan mengimbangi percanggahan kepentingan daripada semua ahli dan pihak yang berkepentingan (sumber rujukan : Business Dictionary.Com). 

Maka dalam konteks ini seorang pemimpin yang memimpin sekumpulan manusia atau sesebuah organisasi itu   berupaya melaksanakan amanah atau tugas yang dipertanggungjawabkan dengan memberi pertimbangan semua hal yang berkaitan dengan ahli-ahli yang dipimpin nya. Apakah tindakan yang dikatakan adil dan saksama ? Menurut Kamus Dewan adil dan saksama bermaksud tidak berat sebelah, tidak berperasangka, bertimbang rasa dan tidak bersikap pilih kasih. Justeru seorang pemimpin atau ketua yang dikatakan adil dan saksama harus mempertimbangkan segala pilihan yang ada sebelum membuat sesuatu keputusan agar tidak dipengaruhi emosi, tidak dipengaruhi unsur-unsur luaran dan tidak sesekali prejudis. Maksud prejudis ialah perasaan atau pendapat yang tidak berasas terhadap sesuatu.

Pun begitu realiti dalam apa jua keputusan, sukar sekali mendapat keputusan yang dikatakan adil dan saksama kerana seringkali ianya dipengaruhi oleh sikap prejudis pemimpin yang membuat keputusan. Contohnya seseorang itu dipindahkan atas alasan tidak menjalankan tugas dengan baik kerana dikatakan mempunyai masalah sikap. Pernah kah pihak pengurusan mengambil tahu apa masalah yang dihadapi oleh pegawai berkenaan? Adakah pegawai tersebut pernah dipanggil untuk menjelaskan kenapa beliau bersikap sedemikian? Apakah tindakan-tindakan yang telah di ambil oleh pengurusan untuk memperbetulkan masalah yang dihadapinya? Pernahkah pegawai tersebut diberi kaunseling? Akhirnya pegawai tersebut dicop sebagai pegawai yang bermasalah dan stigma ini akan kekal di bawa oleh pegawai berkenaan ke mana sahaja..tanpa ada tindakan corrective diambil bagi mengetahui punca pegawai tersebut bermasalah. Inilah yang dikatakan sikap prejudis yang akan mempengaruhi setiap pergerakan serta tindakan pegawai berkenaan.

Sikap prejudis kedua ialah seorang pegawai diLABELkan keras kepala dan pembangkang dalam pejabat kerana bersuara lantang mempersoalkan tindakan-tindakan pengurusan dalam membuat sesuatu keputusan. Tindakan labelling ini oleh sesetengah pihak pengurusan adalah untuk mempengaruhi orang lain dengan harapan pegawai tersebut tidak dinaikkan pangkat atau pun diberi apa-apa penanugerahan atau pengiktirafan. Label seorang pegawai yang suka membangkang akan terus kekal bersama pegawai tersebut hingga menyukarkan dirinya untuk bergaul dengan rakan sejawat yang terpengaruh.Tindakan ini juga akan memberi peluang kepada anak emas atau blue eyed boy pemimpin tersebut untuk naik pangkat walaupun lebih berbelas tahun junior dari pegawai berkenaan.

Satu lagi sikap prejudis yang terburuk ialah prejudis terhadap etnik, kaum dan agama. Ada sesetengah pemimpin dalam organisasi fobia jika ada kaum minoriti menjadi lebih menonjol dan berwibawa berbanding kaumnya. Justeru pemimpin berkenaan akan berusaha mengeluarkan pegawai tersebut supaya tidak menjadi ancaman kepada kedudukan beliau dalam struktur organisasi. 

Kejayaan sesebuah organisasi mencapai matlamat bergantung kepada keupayaan pemimpin untuk menggunakan kepimpinan nya memimpin sekumpulan manusia. Seorang pemimpin yang baik tidak perlu takut kepada kewibawaan seorang dua anak buahnya..malah beliau patut berbangga kerana mampu mendidik dan membimbing mereka menjadi aset dan teras kepada organisasi. Seorang ketua atau pemimpin yang berwibawa akan memberi pertimbangan kepada kebajikan pegawai-pegawainya kerana sekumpulan manusia yang merasa gembira bekerja ana memberi komitmen yang tinggi dan bersungguh-sungguh melaksanakan tugas bagi mencapai matlamat. Manakala sekumpulan manusia yang tidak gembira, sedih atau marah akan memburukkan situasi organisasi apabila mereka melaksanakan tugas mereka ala kadar dan tidak mahu berusaha daripada apa yang diperlukan.

Seorang pemimpin yang yakin dengan dirinya berani mengambil keputusan yang tidak popular demi kebaikan organisasi tetapi pemimpin yang takut dengan bayang-bayang sendiri akan membuat keputusan yang akan menjaga kedudukan dirinya dalam organisasi. Maka dengan demikian segala keputusan yang diambilnya akan menyusahkan sebahagian besar kumpulan manusia yang dipimpinnya. Dia tahu dirinya tak popular..tetapi bagi dirinya lebih baik mendekatkan diri dengan kuasa di atas (top management) daripada memikirkan tentang kebajikan orang-orang yang dipimpin nya. Tindakan-tindakan nya lebih banyak memberi kesengsaraan dan penderitaan kepada orang lain. 




2 comments:

  1. Sabda Rasulullah s.a.w : “setiap orang daripada kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin itu bertanggungjawab mengenai apa yang dipimpinnya”.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sangat bersetuju dengan pandangan Agent X..kalau lah ini amalan di Sarawak..alangkah bahagia nya mereka-mereka yang merintih.. :)

      Delete