Wednesday, December 26, 2012

Persepsi Vs Realiti

Apa itu persepsi? Adakah ianya macam Pepsi? Ha ha ha..tidak sama sekali kerana persepsi berasal daripada perkataan Bahasa Inggeris perception yang bermaksud gambaran atau bayangan dalam hati atau fikiran atau satu tanggapan..namun satu maksud yang amat menarik ialah daripada Oxford Dictionary iaitu the way in which something is regarded, understood or interpreted  (cara sesuatu itu dianggap, difahami dan ditafsirkan). 

Ramai dikalangan kita yang mempunyai persepsi yang amat menarik tentang diri kita sendiri sepertimana kucing dalam gambar di sebelah. Persepsi bahawa diri kita adalah yang terbaik, terhebat dikalangan rakan atau teman kita..hingga kita tak lupa untuk berpijak di bumi yang nyata. Contoh terbaik untuk dikaitkan dengan persepsi kucing ini ialah persepsi pemimpin-pemimpin dan orang-orang parti politik seperti PKR dan DAP. PKR dan DAP menganggap kronisme dalam parti adalah sesuatu yang amat jijik dan seringkali menuding jari kepada parti-parti komponen dalam Barisan Nasional yang dipersepsikan sebagai mengamalkan kronisme. PKR dan DAP promosi dan persepsikan parti mereka bersih daripada amalan kronisme untuk yakinkan rakyat. 

Andainya tiada berlaku amalan kronisme dalam PKR dan DAP..siapakah Nurul Izzah dan Dr.Azizah kepada Anwar Ibrahim? Adakah Dr.Azizah bukan isteri Anwar Ibrahim dan Nurul Izzah bukan anak Anwar Ibrahim? Siapa Lim Guan Eng dan Betty Chew kepada Lim Kit Siang? Siapakah Govind Singh Deo kepada Karpal Singh? Secara realitinya DAP sudah mengamalkan kronisme sejak dulu lagi...dan PKR tidak mahu kalah dengan menjadikan parti itu parti anak beranak ..iaitu Anwar sebagai penasihat, Dr.Azizah sebagai Pengerusi dan Nurul Izzah sebagai Ahli Parlimen..dan andaikata Anwar menjadi Perdana Menteri..pastinya Nurul Izzah akan menjadi Menteri Kementerian Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat manakala Dr.Azizah akan menjadi Menteri Pelancongan!.

Dalam DAP memang satu realiti suami isteri menjadi ahli Yang Berhormat..seperti Lim Guan Eng dan Betty Chew....dan kalau pakatan rakyat memerintah...keseluruhan keluarga Lim Kit Siang dan keluarga Karpal Singh akan menjadi Menteri Kabinet juga kerana amat sukar untuk DAP dan PKR tidak melantik kaum kerabat mereka sendiri berdasarkan situasi semasa. Malah terserlah ketamakan DAP apabila delegasi menolak usul (usul pura-pura) Karpal Singh untuk menghadkan satu calon satu kawasan. Kalau usul tersebut diterima ramai yang tak ingin menjadi YB sebab gaji tak cukup makan!. 

Itu persepsi mengenai kronisme yang dimainkan oleh DAP, PKR dan satu lagi persepsi yang ditanam oleh kaum kerabat DAP, PKR dan PAS ialah..ramai pemimpin BN terlalu lama menjadi pemimpin kerajaan!. Malah dulu mereka tuduh mantan Perdana Menteri Tun Mahathir..pemimpin yang paling lama memerintah Malaysia...tapi kalau banding dengan Nik Aziz..lama lagi Nik Aziz..sebab Tun Mahathir pencen dah...Nik Aziz? tak pencen pencen lagi..malah masih nak bertanding lagi sebagai calon!. Sama juga dengan Lim Kit Siang..sejak tahun 1949..sampai sekarang..masih jadi ahli Parlimen...dan berapa lama lagikah Karpal Singh akan menjadi calon? Masyarakat di war-warkan pemimpin BN terlalu lama jadi pemimpin..tetapi secara realitinya..ramai lagi pemimpin DAP dan PAS yang sudah menjadi ahli Yang Berhormat berbanding beberapa pemimpin BN!.

Mudahnya masyarakat menerima persepsi yang dilontarkan oleh DAP, PKR dan PAS..hinggakan Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Perak (sekarang diambil alih oleh BN) jatuh ke tangan mereka. Tapi hari ini penduduk di tiga buah negeri merungut..tiap-tiap hari mengeluarkan pelbagai kenyataan tentang kesusahan yang mereka hadapi sejak pakatan rakyat memerintah. Persepsi atau realiti hanya mereka yang mengalaminya tahu betapa kehidupan di tiga buah negeri ini sudah berubah..khususnya untuk orang-orang Melayu..yang begitu mudah terpedaya dengan janji-janji manis...

Monday, December 17, 2012

Melayu Hanya Pengemis..

Tajuk muka depan NST 17 Diesember 2012 'Malay DAP leaders slam absence of Malays in CEC' dan Keluhan pemimpin Melayu DAP dalam Utusan Malaysia menceritakan watak sebenar sebuah parti politik yang sebelum ini melaungkan slogan 'Malaysian Malaysia' dan seringkali mendabik dada sebagai parti politik paling demokratik di Malaysia. Ternyata tindakan perwakilan menyingkirkan orang Melayu dalam Jawatankuasa Kerja Pusat menemplak segala kenyataan pemimpin tertinggi DAP selama ini.

Amat kasihan sekali kerana orang-orang Melayu dalam DAP tidak lebih sebagai gimik politik DAP untuk mempengaruhi sokongan orang Melayu terhadap parti tersebut. Malah pemimpin Melayu seperti  Zairil Khir Johari dan Dr.Ariffin S.M Omar ke Jawatankuasa Kerja Pusat adalah seperti 'pengemis' yang mengharap belas ihsan Setiausaha Agung DAP. Nasib kaum India dalam DAP lebih baik berbanding Melayu mungkin disebabkan Karpal Singh masih lagi menjadi Pengerusi DAP. Bayangkan jika Karpal Singh bukan lagi Pengerusi DAP, apakah kaum India dalam DAP akan mengalami nasib yang sama dengan kaum Melayu?

Pertambahan kerusi Parlimen dan DUN oleh DAP juga mencerminkan bertapa DAP ingin menjadi Kapitan dalam pakatan rakyat walaupun secara sinisnya Karpal Singh menyokong Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri jika pakatan rakyat memenangi pilihan raya umum ke-13 nanti. Karpal Singh bijak bermain perangsaraf kerana sedar kehadiran Mustafa Ali daripada PAS dalam persidangan pasti akan memberi komen yang agak bertentangan. Komen Mustafa Ali jelas menunjukkan beliau tidak senang dengan sokongan yang dinyatakan oleh Karpal Singh kepada Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri kerana PAS juga inginkan pemimpin mereka, Hadi Awang dijadikan Perdana Menteri Malaysia.

DAP tidak akan tunduk kepada sesiapa pun dalam pakatan rakyat walaupun pemimpin mereka menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Kenapa mereka menyokong Anwar Ibrahim.? Sebabnya Karpal Singh tahu segala rahsia Anwar Ibrahim dan jika Anwar menjadi PM adalah mudah untuk DAP memanipulasi dan mempergunakan Anwar Ibrahim. Ketegasan DAP menentang dasar Islam amat jelas apabila membantah tindakan kerajaan PAS di Kelantan yang melarang wanita menggunting rambut lelaki. Kenyataan bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz  iaitu ketiadaan calon Melayu bukti DAP parti cauvinis dan perkauman merujuk kepada kuasa Cina dalam DAP yang tidak akan memberi laluan Melayu menjadi pemimpin. Segala tindakan DAP selama ini di Pulau Pinang dan juga tindakan perwakilan sepatutnya membuka mata orang-orang Melayu dalam DAP bahawa mereka hanyalah melukut ditepi gantang yang hanya berguna apabila ingin mendapat undi orang-orang Melayu. Jika tidak mereka tiada apa-apa fungsi dalam parti selain menjadi tukang sorak tukang tepuk tangan dan menjadi barua.

Sehebat mana pun Anwar dan Hadi Awang berhujah mereka tetap tidak akan mampu mengalah kehebatan Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng dalam mempergunakan orang Melayu untuk mencapai matlamat mereka. Harus diingat Lim Kit Siang sudah  menjadi ahli parlimen sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj..iaitu dipilih dalam tahun 1969!. Sudah 43 tahun! Kalau nak bandingkan Anwar dan Hadi....

Tidak mustahil agenda ini sudah dimulakan sejak 43 tahun dahulu yang kini semakin dapat dijadikan satu realiti sekiranya pakatan rakyat mampu menguasai Putrajaya! Setiap perancangan itu sudah lama dirancang mungkin baru digerakkan dengan adanya orang-orang Melayu sendiri yang membantu untuk mencapai matlamat mereka. Kita bercakap tentang Anwar dan juga Hadi Awang..yang hanya menjadi boneka DAP..Anwar Ibrahim tidak mampu berkuasa sepenuhnya..begitu juga Hadi Awang...walaupun kedua-dua mereka menjadi PM dan TPM kerana kuasa sebenar adalah ditangan DAP.

Kalau  ingin menjadi pengemis di bumi sendiri..silakan..kerana setelah kuasa terlepas jangan diharap ianya akan dapat digenggam semula.Kalau masih buta..silakan..gadaikan segalanya demi satu perubahan..jangan nanti menangis dengan nada sesal..seperti yang dialami orang-orang di Selangor..di Kelantan, Kedah dan juga Pulau Pinang.Setiap hari mengeluh merintih..tetapi siapakah yang mengundi dan melantik mereka? 

Tuesday, December 11, 2012

Ketua, Pemimpin dan Organisasi

Pemimpin merupakan individu yang boleh memberi pengaruh kepada individu yang lain di dalam suatu pertubuhan. Kepimpinan atau Leadership ialah aktiviti mengetuai sekumpulan manusia atau sesebuah organisasi dengan keupayaan untuk melakukan perkara-perkara berikut :- 
a) mempunyai visi yang jelas ; b) berkongsi visi dengan orang lain untuk mencapai matlamat ; c) menyediakan maklumat, pengetahuan dan cara untuk mencapai matlamat ; d) menyelaras dan mengimbangi percanggahan kepentingan daripada semua ahli dan pihak yang berkepentingan (sumber rujukan : Business Dictionary.Com). 

Maka dalam konteks ini seorang pemimpin yang memimpin sekumpulan manusia atau sesebuah organisasi itu   berupaya melaksanakan amanah atau tugas yang dipertanggungjawabkan dengan memberi pertimbangan semua hal yang berkaitan dengan ahli-ahli yang dipimpin nya. Apakah tindakan yang dikatakan adil dan saksama ? Menurut Kamus Dewan adil dan saksama bermaksud tidak berat sebelah, tidak berperasangka, bertimbang rasa dan tidak bersikap pilih kasih. Justeru seorang pemimpin atau ketua yang dikatakan adil dan saksama harus mempertimbangkan segala pilihan yang ada sebelum membuat sesuatu keputusan agar tidak dipengaruhi emosi, tidak dipengaruhi unsur-unsur luaran dan tidak sesekali prejudis. Maksud prejudis ialah perasaan atau pendapat yang tidak berasas terhadap sesuatu.

Pun begitu realiti dalam apa jua keputusan, sukar sekali mendapat keputusan yang dikatakan adil dan saksama kerana seringkali ianya dipengaruhi oleh sikap prejudis pemimpin yang membuat keputusan. Contohnya seseorang itu dipindahkan atas alasan tidak menjalankan tugas dengan baik kerana dikatakan mempunyai masalah sikap. Pernah kah pihak pengurusan mengambil tahu apa masalah yang dihadapi oleh pegawai berkenaan? Adakah pegawai tersebut pernah dipanggil untuk menjelaskan kenapa beliau bersikap sedemikian? Apakah tindakan-tindakan yang telah di ambil oleh pengurusan untuk memperbetulkan masalah yang dihadapinya? Pernahkah pegawai tersebut diberi kaunseling? Akhirnya pegawai tersebut dicop sebagai pegawai yang bermasalah dan stigma ini akan kekal di bawa oleh pegawai berkenaan ke mana sahaja..tanpa ada tindakan corrective diambil bagi mengetahui punca pegawai tersebut bermasalah. Inilah yang dikatakan sikap prejudis yang akan mempengaruhi setiap pergerakan serta tindakan pegawai berkenaan.

Sikap prejudis kedua ialah seorang pegawai diLABELkan keras kepala dan pembangkang dalam pejabat kerana bersuara lantang mempersoalkan tindakan-tindakan pengurusan dalam membuat sesuatu keputusan. Tindakan labelling ini oleh sesetengah pihak pengurusan adalah untuk mempengaruhi orang lain dengan harapan pegawai tersebut tidak dinaikkan pangkat atau pun diberi apa-apa penanugerahan atau pengiktirafan. Label seorang pegawai yang suka membangkang akan terus kekal bersama pegawai tersebut hingga menyukarkan dirinya untuk bergaul dengan rakan sejawat yang terpengaruh.Tindakan ini juga akan memberi peluang kepada anak emas atau blue eyed boy pemimpin tersebut untuk naik pangkat walaupun lebih berbelas tahun junior dari pegawai berkenaan.

Satu lagi sikap prejudis yang terburuk ialah prejudis terhadap etnik, kaum dan agama. Ada sesetengah pemimpin dalam organisasi fobia jika ada kaum minoriti menjadi lebih menonjol dan berwibawa berbanding kaumnya. Justeru pemimpin berkenaan akan berusaha mengeluarkan pegawai tersebut supaya tidak menjadi ancaman kepada kedudukan beliau dalam struktur organisasi. 

Kejayaan sesebuah organisasi mencapai matlamat bergantung kepada keupayaan pemimpin untuk menggunakan kepimpinan nya memimpin sekumpulan manusia. Seorang pemimpin yang baik tidak perlu takut kepada kewibawaan seorang dua anak buahnya..malah beliau patut berbangga kerana mampu mendidik dan membimbing mereka menjadi aset dan teras kepada organisasi. Seorang ketua atau pemimpin yang berwibawa akan memberi pertimbangan kepada kebajikan pegawai-pegawainya kerana sekumpulan manusia yang merasa gembira bekerja ana memberi komitmen yang tinggi dan bersungguh-sungguh melaksanakan tugas bagi mencapai matlamat. Manakala sekumpulan manusia yang tidak gembira, sedih atau marah akan memburukkan situasi organisasi apabila mereka melaksanakan tugas mereka ala kadar dan tidak mahu berusaha daripada apa yang diperlukan.

Seorang pemimpin yang yakin dengan dirinya berani mengambil keputusan yang tidak popular demi kebaikan organisasi tetapi pemimpin yang takut dengan bayang-bayang sendiri akan membuat keputusan yang akan menjaga kedudukan dirinya dalam organisasi. Maka dengan demikian segala keputusan yang diambilnya akan menyusahkan sebahagian besar kumpulan manusia yang dipimpinnya. Dia tahu dirinya tak popular..tetapi bagi dirinya lebih baik mendekatkan diri dengan kuasa di atas (top management) daripada memikirkan tentang kebajikan orang-orang yang dipimpin nya. Tindakan-tindakan nya lebih banyak memberi kesengsaraan dan penderitaan kepada orang lain. 




Friday, December 7, 2012

Kuasa dan Pemimpin

Kuasa seringkali didefinisi sebagai keupayaan untuk mempengaruhi tingkahlaku orang lain tanpa rintangan atau tidak. Autoriti dikaitkan dengan kuasa  yang diterima oleh masyarakat sejagat. Kuasa boleh bersifat jahat atau tidak adil tetapi perlaksanaan kuasa diterima perkara biasa ke atas manusia yang bersifat sosial

Pemimpin adalah seseorang yang mampu mempengaruhi sekumpulan manusia untuk mencapai matlamat atau seseorang yang memegang jawatan atau  berkedudukan tinggi dalam organisasi yang mampu mengawal atau mempengaruhi orang lain.Kalau nak bercerita tentang pemimpin dan juga kepimpinan sememangnya banyak buku rujukan yang boleh digunapakai oleh mana-mana individu yang bercita-cita untuk menjadi pemimpin samada pemimpin politik, pemimpin persatuan mahu pun pemimpin dalam organisasi.

Dua perkara di atas, iaitu Kuasa dan Pemimpin sukar dipisahkan kerana kedua-duanya berjalan seiring. Seorang pemimpin perlu kuasa untuk berkuasa dan kuasa perlu ada pada seorang pemimpin untuk memimpin sesebuah ogranisasi. Kuasa tiada makna jika tidak ada pemimpin dan menjadi seorang pemimpin tidak bermakna jika tiada kuasa untuk melaksanakan segala dasar dan peraturan-peraturan dalam organisasi. Maka jika ada pemimpin, adalah kuasa. Pun begitu, sebenarnya kuasa memimpin tidak semestinya ada terletak ditangan seorang pemimpin atasan semata-mata kerana seseorang individu yang berkedudukan di tengah-tengah organisasi boleh berkuasa untuk memimpin bagi mencapai matlamat organisasi, menurut buku 360 Degree Leader, tulisan John.C Maxwell.

Keluhan dan rintihan anggota bawahan terhadap kepimpinan organisasi banyak kali didengar dan antara yang sering diperkatakan ialah ketidakperihatinan pemimpin terhadap kebajikan anggota. Ada juga yang mengatakan pemimpin menyalahguna kuasa dan menunjukkan kuasa mereka kepada anggota-anggota yang dianggap tidak sebulu atau tidak geng dengan pemimpin, iaitu tidak sealiran pandangan dan pendapat. Ada juga dikalangan anggota yang seolah-olah dipinggirkan kerana berpandangan ultra serta sering memberi pandangan yang dianggap mencabar kewibawaan kepimpinan organisasi. 



Jika benarlah perkara sebegini masih berlaku dalam sesebuah organisasi maka tidak layak bagi pemimpin itu terus memimpin organisasi tersebut kerana lambat laun segala tindakan-tindakan yang dilakukan nya akan membawa kepada kemerosotan prestasi organisasi secara keseluruhan. Pegawai dan staff lambat laun akan menolak untuk melakukan kerja dengan lebih baik dan dalam diam akan berusaha mensabotajkan segala program dan aktiviti yang dilaksanakan. Ini boleh berlaku kerana seorang pemimpin memerlukan sekumpulan manusia untuk dipimpin dan sekumpulan manusia inilah yang akan melaksanakan segala arahan dan tugas bagi mencapai matlamat organisasi. Pemimpin tidak boleh menggunakan kuasa veto atau kuasa ugutan kerana secara prinsipnya seorang pemimpin adalah role model, seorang pembimbing, seorang penasihat, seorang pendidik yang akan membentuk serta mengawal hala tuju organisasi. 

Teringat satu ketika dulu, seorang Ketua Jabatan pernah memberitahu saya 'I am the boss so i have every right to do what i want in this office and you remember it as long as you are working under me' dan betapa saya ingat hingga ke hari ini sebagai satu peringatan kepada diri supaya tidak bertindak sedemikian sekiranya saya ditakdirkan memimpin sebuah organisasi satu hari nanti. Mungkin perkara ini masih di amalkan di organisasi berkenaan kerana maklumat yang diterima daripada rakan-rakan, segala tindakan yang dilakukan tidak mencerminkan pengurusan dan pentadbiran yang bersifat perihatin kepada kebajikan anggota. Saya sering tertanya-tanya apakah mereka lupa satu hari nanti mereka akan berpencen dan jawatan yang mereka sandang pada hari ini tidak akan dibawa bersama. Apakah mereka lupa bahawa apabila sudah berpencen nanti mereka juga seperti orang lain..menjadi orang awam yang tidak mempunyai jawatan dan pengaruh lagi? 

Saya juga teringat bagaimana seorang Ketua Jabatan tidak dilayan oleh bekas anggota organisasi apabila beliau melawat organisasi tersebut di Sarawak satu ketika dulu kerana anggota-anggota masih lagi terkenang bagaimana tindak tanduk beliau semasa beliau berkuasa. Semua anggota keluar dari pejabat apabila melihat beliau melangkah masuk kerana tidak mahu melayan beliau. Kesian. Sampai sekarang beliau tidak lagi berani menjenguk pejabat tersebut. Semuanya gara-gara sikap ketegasan yang keterlaluan dan sikap pilih bulu apabila melakukan beberapa tindakan seperti soal transfer dan kebajikan. Saya pernah bertanya kepada beliau semasa beliau masih menjawat jawatan Pengarah, kenapa seorang pegawai lelaki itu tidak boleh menangguh transfer beliau manakala seorang staff wanita boleh pulak menangguh untuk transfer walaupun staff tersebut masih bujang, walhal pegawai lelaki tadi ada urusan keluarga untuk diselesaikan? Jawapan beliau cukup klasik. 'Aku yang berkuasa dan aku yang menentukan boleh atau tidak boleh seseorang itu menangguhkan urusan transfer..ikut suka aku dan you have no business dalam perkara ini'. Baguskan jawapan itu..dan ini berlaku 15 tahun lalu. 

Sifat kepimpinan yang baik, berdasarkan apa yang saya baca dan berdasarkan apa yang saya di ajar dalam kursus-kursus ialah pemimpin perlu mempunyai kemahiran mendengar selain kemahiran berkomunikasi dan juga kemahiran untuk memotivasikan warga kerja organisasi mencapai matlamat prestasi yang tinggi. Tidak dinafikan seorang pemimpin perlu tegas dalam setiap keputusan, tetapi biarlah ketegasan itu bertempat. Saya hormati orang yang tegas dan berhemah tetapi amat membenci pemimpin yang suka serkap jarang dan membuat keputusan membuta tuli. Apa yang berlaku di sebuah organisasi di Sarawak ialah seringkali keputusan dibuat berdasarkan emosi dan cakap-cakap orang sekeliling hingga pemimpin kabur dengan masalah sebenar yang dihadapi oleh anggota. Berilah peluang anggota menjelaskan perkara sebenar sebelum tindakan dilakukan. Jangan kerana nak tunjuk kuasa,  anggota di aniaya hingga menjejaskan kualiti hidup mereka. Harus diingat bahawa jika kualiti hidup anggota terjejas, prestasi kerja juga terjejas. Apabila emosi warga kerja terganggu kerana tekanan hidup, segala kerja-kerja di jabatan juga terganggu. Ingatlah tidak selamanya kita menjadi seorang Ketua Jabatan dan tidak selamanya kita berkuasa. Sedarlah bahawa jawatan yang kita pegang itu satu amanah yang dipertanggungjawabkan untuk kita laksanakan dengan adil dan saksama. Hidup ini umpama roda..jika hari ini kita melakukan sesuatu yang buruk ke atas orang lain..satu hari nanti orang akan melakukan perkara yang sama, samada terhadap kita atau pun kepada anak cucu kita.






Tuesday, December 4, 2012

Gajet Dalam Kehidupan Masyarakat Moden

'Life's a cinch with gadgets' tulisan Fazleena Aziz dan 'Gadgets may be useful but know when to put them away' oleh Vijenthin Nair dalam TheStar, 1 Disember 2012 menceritakan betapa gajet-gajet moden ini mengubah kehidupan masyarakat. 

'for me, a day without my Blackberry would be horrible experience because my whole world has somehow been compressed into the smartphone' kata Fazleena Aziz manakala Vijenthin Nair pula mengatakan 'many people have become very attached to their mobiles smartphone that being just a couple of metres apart makes them uncomfortable' menjelaskan betapa gajet-gajet moden bukan lagi satu barang kemewahan (luxury items) tetapi sebaliknya satu keperluan asas dalam kehidupan masyarakat moden yang hidup dalam dunia yang pantas.

Gajet seperti Blackberry, Apple iPad, Samsung Tab, Samsung Galaxy smartphone dan bermacam-macam lagi jenama yang mampu dimiliki oleh masyarakat menyebabkan kehidupan keluarga semakin sunyi. Bayangkan sebuah keluarga di bandaraya, yang mempunyai seorang ayah dan seorang ibu yang bekerja dengan empat orang anak yang sudah dewasa duduk di meja makan, masing-masing mempunyai gajet pintar di letakkan di atas meja makan. Apa akan berlaku? Masing-masing sibuk dengan gajet masing-masing..nak update status di facebook, ada yang twitting, tengok emel atau sedang tunggu message. Makan masih semeja tetapi komunikasi antara keluarga..sudah hilang..maka hubungan keluarga hanya duduk semeja..bukan lagi berbincang tentang apa yang berlaku pada hari tersebut..dan sebab itulah hubungan kekeluargaan dikalangan masyarakat bandar semakin kronik. Berbanding sebelum wujudnya gajet-gajet pintar ini..suasana makan malam lebih meriah dengan gelak ketawa dan gurau senda antara ibu bapa dan anak-anak. 

Sama juga hubungan antara kawan-kawan hari ini yang banyak tertumpu kepada updating status. Gelak ketawa dan gurau senda hanya berlaku pada minit awal pertemuan hingga 20 minit..dan selepas itu senyap kerana masing-masing melayan gajet-gajet pintar ini. Malah semakin ramai yang suka duduk bersendirian melayan kawan-kawan alam maya (virtual friends) melalui friendster, facebook dan apa jua laman media sosial yang semakin berkembang. Micheal Moore dari Bournemouth, UK menulis dalam blog TED Conversation 'they have allowed us to get stuck in routines and take our work home with us after already working all day. Perhaps being too connected is hindering our lives rather than making them easier, and what about happiness?' memperkukuhkan pandangan saya bahawa gajet-gajet pintar ini telah mengambilalih sebahagian besar kehidupan kita.

Takrifan kawan ialah seseorang yang dikenali, suka dan percaya tetapi bolehkah friends di facebook dianggap kawan sedangkan kita sendiri belum pernah berjumpa? Adakah istilah friends di facebook sebagai kenalan atau kawan? Pada pandangan saya istilah yang paling sesuai ialah acquaintances atau kenalan kerana ada dikalangan mereka ini langsung tidak dikenali..hanya pada nama (itu pun kalau tak guna nama samaran) dan ada yang tak ada gambar (kalau ada gambar orang lain atau gambar lain). Boleh kah kita percaya sepenuhnya pada acquaintances ini?. Semua terpulang kepada individu masing-masing namun yang jelas gajet-gajet pintar ini telah menghubungi kita dengan ribuan acquaintances ini melalui laman media sosial yang terdapat di alam maya.

Sememangnya di akui gajet-gajet pintar ini telah memudahkan kehidupan kita seperti kata Fazleena, they allow us to stay update and make life easier namun the wide usage of smartphones has also caused a decline in the quality of human interaction, the use of body language and facial expression, kata Vijenthin Nair.Kalau kita amati juga bahasa-bahasa yang kita gunakan seharian sudah mula berubah kerana banyak dipenuhi dengan slanga dan short form. Daripada penggunaan dalam message..bahasa-bahasa slanga dan short form seperti you= u, are= r , where = whr, how=hw, (whr r u?, hw r u?). Semuanya mempengaruhi cara penulisan bagi sesetengah individu yang banyak bermesej dan mempengaruhi cara kita hari ini dalam mengekspresikan perasaan. 

Urusan perbankan juga sudah boleh menggunakan gajet-gajet pintar ini dan mengurangkan fungsi manusia di institusi perbankan. Memang ianya memudahkan walaupun banyak risiko terutamanya urusan boleh di intercept oleh kumpulan penjenayah siber yang sentiasa mengambil peluang kepada kelalaian manusia itu sendiri. Malah urusan seperti mendapat maklumat mengenai saman, memperbaharui cukai jalan dan sebagainya menjadikan manusia lebih bergantung kepada gajet-gajet pintar ini. Akhirnya manusia semakin malas kerana semuanya berada dihujung jari.