Wednesday, September 9, 2015

MALAYSIAKU #SEHATISEJIWA#ANAKANAKMALAYSIA

Lama juga aku tak menulis entri dalam blog aku ini .. bukan lah kerana kesibukan kerja tapi terasa kemalasan untuk menulis dengan pelbagai isu yang sering berlegar di ruang media, samada media cetak, elektronik dan juga media sosial. Hari-hari perkara yang sama dibangkitkan oleh media sehingga membangkitkan ‘kemuakan’ kepada pembaca seolah-olah isu itu sedang ditanam ke dalam minda masyarakat. Sebuah stesen TV hamper setiap malam membuat ‘pendedahan’ yang dulunya dikatakan ‘tidak benar’ oleh seseorang yang sudah ditahan pihak berkuasa. Teori ‘pengulingan kerajaan’ dimainkan, dikipas dan diapikan seolah-olah negara ini sedang ‘chaos’ atau terlalu bercelaru sehinggakan memerlukan media arus perdana untuk merungkaikan segala-galanya. Apakah peranan media sebenarnya ? Adakah untuk menjadi ‘investigator’ atau sebagai ‘whistleblower’ atau penyebaran maklumat atau ‘pendedahan teori’? Atau semata-mata membuat spekulasi bagi melemparkan satu tuduhan yang belum pasti ? Aku juga hairan bagaimana ahli politik yang kita pilih untuk memastikan kehidupan kita lebih sejahtera, makmur dan maju, terus berpolitik, berpolitik dan berpolitik sedangkan isu yang perlu mereka tangani pada ketika ini ialah bagaimana memastikan rakyat tidak dibebani dengan harga barang keperluan harian yang semakin meningkat. Aku baca ada menteri mengatakan akan memastikan harga barang harian diturunkan .. sudah diturunkan belum ? Tapi seminggu sekali aku ke pasar borong, harga nya semakin naik..

Isu kedua GST. Pada aku tiada masalah kerajaan melaksanakan GST tapi jangan la dikenakan kepada rakyat. Peliknya GST dikenakan oleh semua penjual kepada rakyat samada peniaga itu berdaftar atau tidak dengan pihak berkuasa. Malah ada kedai yang kenakan ’double’ kepada pelanggan , GST pun kena, cukai perkhidmatan 5 peratus pun kena. Inilah yang menjadikan rakyat marah dan keliru. Ada juga yang berpendapat kenapa GST dikenakan 6 peratus, kenapa tidak 2 atau 3 peratus ? Peniaga tepi jalan pun dah naikkan harga, kononya GST.. he he he .. aku tak salahkan mereka mengambil peluang .. kerana sejujurnya adakah pemantauan yang ketat dilaksanakan ? Jika ada kenapa begitu bebas, pekedai, warung dan juga kiosk mengenakan GST kepada pelanggan walaupun mereka tidak berdaftar? Apakah pihak berkuasa menunggu pelanggan untuk membuat aduan? Jika itu modus operandinya, apa kaedah pelanggan nak buat aduan dengan segera dan diambil tindakan segera oleh pihak berkuasa? Melalui ’mobile apps’ ka atau melalui saluran emel, telefon atau mengadu terus melalui saluran konvensional? Semua ini tidak diperjelaskan oleh pihak yang bertanggungjawab semasa mereka melaksanakan GST. Bukan nak mengkritik cuma ingin mencadangkan agar pihak berkuasa menyediakan satu saluran yang ’user-friendly’ kepada pelanggan atau pengguna untuk membuat aduan segera secara ad-hoc tanpa perlu melalui pelbagai peringkat, contohnya ’mobile apps’ yang mudah diakses oleh pengguna atau pelanggan. Ianya mungkin mahal dalam istilah pihak bertanggungjawab tetapi efektif untuk memastikan tiada penipuan atau kesempatan diambil terhadap pelanggan oleh peniaga, peruncit, pekedai atau penjual dengan alasan GST. Ianya juga boleh menyelamatkan maruah kerajaan, membersihkan imej kerajaan serta mengurangkan persepsi buruk terhadap kerajaan yang dikatakan membebankan rakyat. Jika maklumat yang tidak sahih boleh disebarkan dengan cepat kerana kecanggihan teknologi hari ini, maka kelebihan kecanggihan teknologi boleh digunakan untuk memudahkan rakyat membuat aduan, akses kepada kerajaan yang sepatutnya terkandungkan dalam MERAKYATKAN PERKHIDMATAN AWAM. Kenapa takut berbelanja untuk menyediakan satu perkhidmatan mudah, ringkas yang boleh membaik pulih persepsi rakyat terhadap kerajaan.

Isu ketiga berkaitan dengan patriotisme. Macam-macam teori dan aktiviti diadakan bagi meningkatkan patriotisme rakyat terhadap negara, kempen, adverts, lagu ..entah apa lagi tapi pernah kah kita membuat kajian yang menyeluruh? Adakah kurangnya orang mengibarkan Jalur Gemilang di premis, di kenderaan satu indikator bahawa rakyat negara ini semakin kurang nilai patriotisme nya terhadap negara? Jika jawapan nya YA, apakah solution nya? Jabatan Penerangan Malaysia, contohnya sudah berusaha dengan penuh komitmen mengadakan kempen Jalur Gemilang sejak 15 tahun yang lalu .. dengan pelbagai aktiviti termasuk Kembara Merdeka Jalur Gemilang sebagai aktiviti kemuncaknya .. namun sehingga hari ini, semakin kurang rakyat mengibarkan Jalur Gemilang di kenderaan mereka ? Begitu juga di premis-premis persendirian, rumah dan juga syarikat swasta.. hinggalah sebuah pihak berkuasa tempatan terpaksa memberi amaran kepada pemilik premis / kedai agar mengibarkan Jalur Gemilang jika ingin lesen perniagaan mereka di perbaharui.. hingga ke tahap itu .. dan itulah persoalan aku. Aku bertanya dengan rakan-rakan, apakah ianya salah sistem pembelajaran kita atau salah pandangan kita ? Di sekolah ada pendidikan sejarah dan sivik, malah dalam setiap perhimpunan ada lagu Negaraku dan juga ikrar Rukun Negara .. dimana silap kita ? Atau perlukan pihak berkuasa menguatkuasakan undang-undang untuk memastikan setiap rakyat di negara ini mengibarkan Jalur Gemilang di premis kediaman, premis perniagaan dan juga kenderaan, iaitu enforced patriotisme supaya ianya menjadi satu budaya dalam masyarakat Malaysia. Pun begitu pada aku, semuanya adalah kerana sikap kita yang suka bersikap sambil lewa terhadap kebebasan dan keamanan yang kita nikmati hari ini. Kita bercakaran dan bertelagah sesama sendiri, yang mana betul dan yang mana salah, yakni Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia.. sejarah membuktikan Malaysia TIDAK PERNAH dijajah kerana Persekutuan Malaysia lahir pada 16 September 1963. Tetapi kita lupa bahawa negeri-negeri Semenanjung, Sabah dan Sarawak pernah di jajah dan kita dibebaskan dari penjajah oleh pejuang-pejuang bangsa yang mengorbankan diri mereka, mengorbankan harta benda mereka demi mencapai kebebasan dan keamanan. Apa salahnya kita menyambut kemerdekaan itu sebagai satu kesyukuran nikmat yang diberikan oleh Yang Maha Esa melalui pejuang-pejuang kita dan kita RAIKAN bersama kelahiran sebuah negara yang bernama MALAYSIA .. menjadikan kita satu keluarga, satu bangsa walaupun dari pelbagai etnik, walau mengamalkan pelbagai budaya hidup, pelbagai kepercayaan dan anutan ...


Aku nak petik kata-kata dari Ustaz Kazim Elias dalam satu ceramah  negara yang aman akan memberi rezeki kepada rakyatnya, negara yang aman akan menjadi negara yang maju.